LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menghamburkan pujian kepada pemain-pemainnya selepas kembali mendapatkan rentak kemenangan apabila membelasah Tottenham Hotspur 4-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspur itu, The Gunners memastikan tiga mata menjadi miliknya selepas Eberechi Eze dan Viktor Gyokeres masing-masing menjaringkan dua gol manakala gol Spurs dijaringkan Randal Kolo Muani.
Arteta berkata, kemenangan itu membolehkan Arsenal keluar dari ‘kiamat’, terutamanya selepas mereka dikejutkan dengan keputusan seri 2-2 menentang Wolverhampton Wanderers minggu lalu.
“Inilah bola sepak. Ketika anda semua menonton perlawanan menentang Wolves sebelum ini dan tidak ada sesiapa boleh memberikan penjelasan apa yang berlaku. Ia seolah-olah seperti ‘kiamat’ untuk kami.
“Bagaimanapun, kami kembali menunjukkan karakter sebenar apabila tidak mudah mengaku kalah dan mendominasi sepenuhnya perlawanan hari ini (semalam). Bagi saya, ia sesuatu yang sangat baik,” katanya.
Menerusi kemenangan itu, Arsenal kembali menjarakkan lima mata dengan pasukan tangga kedua, Manchester City yang terus mengejar selain kurang satu perlawanan berbanding The Gunners.
“Selepas ini kami akan fokus terhadap satu demi satu perlawanan kerana sekarang kami berada dalam maraton. Aksi menentang Chelsea selepas ini adalah yang paling penting untuk kami,” ujar Arteta. – AGENSI














