KUALA LUMPUR – Peguam ahli perniagaan, Datuk Mahadi Badrul Zaman yang dituduh menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen yang sah memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan jaminan.
Rayuan itu dibuat Datuk Mohd. Zamri Mohd. Idrus kerana khuatir janggut suami selebriti Heliza Helmi tersebut akan dipotong semasa berada dalam penjara.
semasa rayuan ikat jamin, peguam itu memaklumkan kepada mahkamah, sekiranya jaminan tidak dibenarkan atau terlalu tinggi tertuduh akan dipenjarakan dan janggut panjangnya berkemungkinan akan dipotong.
“Ini akan memberi kesan kepadanya,” katanya.
Jelasnya, Mahadi yang membantu urusan mengendalikan jemaah umrah turut memberi kerjasama sepanjang siasatan dan tidak berisiko untuk melarikan diri. Lelaki itu juga menanggung ibunya yang menghidap kanser selain keluarga mentuanya.
Terdahulu, Mahadi, 43, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen sah yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Norma Ismail.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Sekuriti (SC), Danial Imran Nasaruddin memohon mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam dan keyakinan pelabur dalam pasaran sekuriti sebelum membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM250,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan pasport lelaki itu diserahkan kepada mahkamah. Tertuduh juga perlu melapor diri di pejabat SC sebulan sekali.
Mahkamah membenarkan Mahadi dijamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin berserta semua syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan. – KOSMO! ONLINE














