KOTA KINABALU – Sabah FC terpaksa menanggung aib di laman sendiri apabila bekas penyerangnya, Ajdin Mujagic menjadi watak penting kepada kemenangan selesa 6-1 Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Likas, sebentar tadi.
Walaupun hanya menyertai Harimau Selatan pada penghujung bulan lalu, Mujagic tidak menunggu lama untuk mencipta keserasian dengan rakan baharu selepas cemerlang menghasilkan dua jaringan.
Seperti yang diramal, pelawat memulakan perlawanan dengan aksi luar biasa apabila dihadiahkan sepakan penalti dan peluang keemasan itu tenang disempurnakan oleh Bergson da Silva.
Gol itu nyata menambah motivasi JDT untuk menambah jaringan hingga Mujagic meledak gol kedua pada minit ke-21 sebelum Oscar Arribas menambah derita tuan rumah pada minit ke-25.
Lima minit sebelum babak pertama berakhir, Mujagic sekali lagi mempamerkan bisa untuk melengkapkan gol keempat JDT.
Pelawat memulakan separuh masa kedua dengan penuh bertenaga apabila menambah dua lagi gol dalam tempoh tiga minit.
Manuel Hidalgo yang sering mencetuskan situasi bahaya kepada benteng pertahanan tuan rumah merobek gawang lawan pada minit ke-46 sebelum Arribas melengkapkan jaringan keenam JDT pada minit ke-48.
Jurang kualiti antara kedua-dua pasukan menyaksikan The Rhinos lebih banyak menumpukan perhatian kepada tugasan bertahan dan sering berpaksikan kepada serangan balas.
Minit ke-88, usaha Sabah FC akhirnya terbalas apabila memperoleh gol saguhati menerusi penyerang baharunya, Chris Ondong Mba namun ia sudah terlambat untuk menafikan tiga mata buat JDT. – KOSMO! ONLINE














