fbpx
Pencapaian dilakar Alif dalam bidang akademik cukup membanggakan, biarpun menghidap penyakit jarang ditemui.

Survival dan misi Dr. Alif buru PhD ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGGENGGAM ijazah doktor falsafah (PhD) pada usia muda sudah cukup membanggakan, apatah lagi jika seseorang itu mempunyai lebih daripada satu PhD.

Kedengaran agak pelik dan janggal, namun itulah yang dibuktikan oleh seorang anak muda berasal dari Kuala Lumpur.

Bagi Dr. Mohd. Alif Jasni, dia bukan sahaja memiliki dua PhD dan empat ijazah sarjana (Master), malah kini sedang menyambung pengajian PhD ketiganya dalam bidang sains politik.

Mesra disapa Alif, pemuda berusia 38 tahun itu merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial di Universiti Utara Malaysia (UUM) sejak tujuh tahun lalu.

Alif sebelum ini telah berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Ijazah Sarjana Pengajian ASEAN dan Ijazah Sarjana Keadilan Jenayah (Universiti Malaya, UM); Ijazah Sarjana Komunikasi Media daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM); Ijazah Sarjana Sains (Gender dan Pembangunan) daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Diploma Pascasiswazah Pengajaran dan Pembelajaran (PGDHLT) daripada UUM.

Bagi peringkat PhD, Alif telah berjaya memperoleh PHD Keadilan Jenayah daripada UM dan PhD Kerja Sosial daripada UKM.

Di sebalik kejayaan akademik diperoleh, Alif sebenarnya sedang bergelut melawan penyakit yang jarang ditemui iaitu Arnolds Chiari Malformation sejak berusia 22 tahun.
Arnolds Chiari Malformation atau lebih dikenali sebagai kecacatan Chiari merupakan satu keadaan di mana tisu otak meluas ke dalam saluran tulang belakang.

Berkesempatan menemu bual anak sulung daripada empat beradik itu baru-baru ini, Alif memberitahu, dia banyak menghabiskan masa dengan belajar untuk mengalihkan fokus daripada kesakitan dialami.

“Sebenarnya, ia merupakan hasrat peribadi saya dan satu kepuasan diri apabila mempunyai pengetahuan dalam beberapa bidang.

“Sejak berumur 24 tahun, saya sentiasa berminat untuk mempelajari ilmu baharu. Lebih-lebih lagi apabila dapat menyampaikannya kepada pelajar saya,” katanya.
Menurut Alif, menyahut cabaran PhD ketiga juga membuka peluang kepadanya untuk bekerjasama dengan kawan-kawan daripada bidang berlainan.

“Kadangkala, kita sendiri tidak tahu pengakhiran daripada apa yang kita lakukan ketika ini. Cuma yang pasti, setiap usaha yang kita lakukan, pasti akan membuahkan hasil,” katanya.

Dalam akademik, Alif menjadikan Dr. Soo Wincci sebagai salah seorang figura yang membakar semangatnya untuk terus berjuang.

“Di Malaysia ini, ramai yang memiliki dua PhD. Merekalah yang banyak memberikan saya semangat untuk melakukannya.

“Macam Dr. Soo Wincci, dia aktif mempelajari beberapa bidang sehingga memperolehi ijazah,” katanya.

Mengulas mengenai survival penyakit dialami, Alif memberitahu, dia telah didiagnosis dengan Arnold Chiari Malformation di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sekitar 16 tahun lalu.

Ujarnya, setiap kali bersin dan batuk ketika itu, separuh badannya akan berasa sakit.

ALIF merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial di UUM.

“Selepas saya pergi ke hospital, doktor cadangkan kepada saya untuk buat MRI (pengimejan resonans magnet).

“Hasil daripada ujian MRI, kelihatan ada air tersumbat dalam tulang belakang saya,” katanya.

Menurut Alif, Arnold Chiari Malformation tergolong dalam penyakit jarang ditemui, di mana setiap pesakit mempunyai simptom berbeza.

“Simptom yang dialami oleh saya termasuk kebas separuh badan, sakit mencucuk (shooting pain), sakit tulang belakang serta kelesuan berpanjangan.

“Daripada seorang yang sihat, saya perlu menerima hakikat perubahan fizikal yang besar dalam hidup.

“Namun, pengalaman ini menjadi titik tolak kepada saya untuk melihat kehidupan dari sudut lebih bermakna dan positif,” katanya.

Berkongsi lanjut, Alif memberitahu, gejala penyakitnya masih berulang ketika ini, meskipun sudah menjalani pembedahan ketika berusia 27 tahun.

Tujuan utama pembedahan itu dilakukan adalah untuk mengelak risiko gejala-gejala lain berlaku pada masa hadapan.

“Penyakit ini boleh membawa kepada lumpuh kaki kerana melibatkan tulang belakang.

“Jauh di sudut hati, saya berharap penyakit itu sampai di sini sahajalah. Lemah di setengah badan sahaja dan tidak membawa kepada gejala-gejala lain,” luahnya.

Cerita Alif, buat masa ini, dia sudah menemui 10 orang penghidap penyakit yang sama di Malaysia dan mereka mempunyai satu kumpulan di aplikasi WhatsApp untuk saling berhubung.

Ada penghidap penyakit berkenaan tidak mampu menggerakkan leher, gagal mengawal pundi kencing serta ada kerap berasa pening kepala.

Mengulas mengenai cara Alif melawan kesakitan sehingga mampu mengecapi kejayaan dalam akademik, dia mengakui pengajian yang dilakukan secara penyelidikan mempunyai kelebihan terhadap keadaannya itu.

Katanya, pengajian secara penyelidikan mempunyai jadual lebih fleksibel, sekali gus membolehkannya menentukan sendiri waktu belajar, beriadah dan berehat.

Pun begitu, tidak seperti manusia normal dan sihat lain, pasti ada juga cabaran tersendiri dilaluinya.

“Cabaran terbesar adalah ketidakselesaan fizikal yang berpanjangan. Saya sering mengalami kebas dan kesakitan di seluruh badan sepanjang hari sehingga memberi kesan kepada rutin harian.

“Namun, saya sentiasa belajar untuk menyesuaikan diri dan mengurus tenaga dengan lebih sistematik.

“Saya sentiasa mengutamakan pengurusan masa yang sistematik dengan mendahulukan tugas paling penting.

“Biasanya, tugas hakiki sebagai pensyarah seperti pengajaran, penyelidikan dan penulisan akan diselesaikan terlebih dahulu.

“Pada hujung minggu pula, saya memperuntukkan masa untuk menulis buku.

“Bagi saya, bekerja sambil belajar bukan sesuatu yang sukar kerana penulisan dan penyelidikan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab akademik,” katanya.

Sementara itu, Alif juga terinspirasi oleh tokoh hebat seperti Stephen Hawking yang tetap menyumbang kepada dunia sains, walaupun menghidap penyakit motor neuron.

“Hawking membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk mencapai kejayaan. Beliau juga berusaha menjadikan penyakit yang dihidapi sebagai kekuatan, bukan halangan,” ujarnya.

Bercerita mengenai ibadah puasa di bulan Ramadan yang sudah memasuki hari kelima, Alif bersyukur kerana dia tidak mempunyai masalah untuk berpuasa.

Katanya, dia hanya perlu mengubah waktu pengambilan ubat dari waktu pagi ke sebelah malam dengan persetujuan dan kelulusan doktor.

“Antara simptom yang kerap saya alami ketika ini (berpuasa) termasuk sakit kepala dan kelesuan berterusan.

“Setiap pesakit berbeza. Ada yang memerlukan waktu tidur sehingga 12 jam sehari. Ada juga yang hanya mampu tidur sekitar lima jam atau kurang dari itu,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, pemilik lapan ekor kucing itu berharap dapat mencapai kenaikan pangkat dalam tempoh 10 tahun akan datang, serta terus aktif dalam bidang penyelidikan dan penulisan akademik.

“Jangan pernah mengalah. Percayalah bahawa usaha tidak akan mengkhianati hasil.

“Apa yang kita lakukan hari ini, mungkin tidak menampakkan hasil segera. Namun suatu hari nanti, ia pasti membuahkan kejayaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN