LONDON – Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mahu para pemainnya menentukan nasib mereka musim ini sama ada mampu menamatkan kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris atau terus kempunan.
Ketika saingan hanya berbaki 10 perlawanan sahaja lagi, Arsenal masih lagi muncul pendahulu dengan kelebihan lima mata ketika pencabar utama, Manchester City masih kekurangan satu perlawanan.
Justeru, ia bukanlah kedudukan yang boleh dianggap selesa, malah aksi derbi utara London menentang Tottenham Hotspur di gelanggang lawan tengah malam ini dianggap aksi yang cukup penting buat The Gunners.
Kegagalan mencatat kemenangan ketika menentang Wolves biarpun mendahului dengan dua gol menyebabkan skuad kendalian Arteta itu tidak mempunyai pilihan kecuali mendapatkan kemenangan pada aksi kali ini.
“Apabila anda kehilangan mata pada perlawanan lalu, bolos dalam situasi seperti itu membuatkan kami menjadi tidak faham. Namun, dalam bola sepak itu adalah sebahagian bab. Bab ke-27 (perlawanan ke-27) menyaksikan kami seri menentang Wolves.
“Apa yang membuatkan saya teruja adalah bab seterusnya, kami yang bakal menentukannya. Apa yang kami mampu lakukan dan bagaimana kami akan melakukannya, itu akan ditentukan oleh kami sendiri,” katanya.
Cabaran utama Arsenal ketika ini adalah turun menentang Spurs yang kini dikemudi oleh pengendali baharu apabila Igor Tudor menggantikan Thomas Frank yang dipecat bakal turun pada aksi pertamanya.
“Saya fikir kamu sudah berdepan tujuh pasukan yang melantik pengurus baharu musim ini. Kami sentiasa mampu menyesuaikan diri, melakukan analisis terhadap kemampuan yang dimiliki oleh beliau (Tudor).
“Sudah tentu kami memiliki kapasiti untuk menyesuaikan diri dengan keperluan perlawanan, namun apa yang pasti kami mahukan kemenangan pada aksi kali ini,” jelasnya. – AGENSI














