LUMUT – Barisan Nasional (BN) mengambil pendekatan enggan masuk campur terhadap kemelut yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, mereka sebaliknya sekadar memerhati isu yang berlaku tersebut.
“Di peringkat BN kita tidak mahu masuk campur atau terlibat dengan apa yang berlaku dalam parti berkenaan. Sebarang langkah yang mereka nak lakukan kita serahkan kepada mereka.
“Sebab adalah tidak wajar di peringkat ini ketika mana mereka berada dalam keadaan berantakan sesama sendiri maka kita datang dengan langkah-langkah menyelamat atau memberi ruang kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Santuni Pesakit Hospital Seri Manjung Bersempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di Hospital Seri Manjung hari ini.
Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, beliau percaya mereka yang terlibat dalam kemelut Bersatu tersebut mempunyai perancangan masing-masing.
Mengulas khabar angin mengenai adanya cubaan pemimpin Bersatu akan Kembali le UMNO, beliau berkata, ia hanyalah khabar angin sebagaimana yang dimaklumkan Presiden parti tersebut, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Bagaimanapun, kita sedang memerhati apa yang mereka sedang alami sekarang ini. Sebagai parti, takkanlah kita pejam kata pekakkan telinga tak ambil tahu,” katanya. – KOSMO! ONLINE














