PETALING JAYA – Peniaga Bazar Ramadan Santai, Bandar Tasik Puteri, Rawang terpaksa menempuh ujian apabila khemah dan barang jualan mereka rosak akibat angin kencang dan hujan lebat, petang tadi.
Menerusi tinjauan di media sosial, beberapa video dimuat naik peniaga bazar terbabit memaparkan khemah mereka diterbangkan angin kencang selain barang jualan rosak terkena air hujan.
Menurut seorang peniaga, kawasan terbabit dipercayai terdedah dengan risiko angin kencang oleh kerana kawasannya yang lapang.
“Bazar Ramadan terpanjang di Malaysia. Kami peniaga yang dah lama berniaga dekat (sini) banyak menolak jangan buat dekat star market sebab tanah lapang.
“Bila angin tiup sekali sahaja habis..tapi apakan daya suara kami sebagai peniaga ini kecil sahaja. Selamat menyambut Ramadan semua,” katanya dalam ruangan kapsyen.
Untuk rekod, Bazar Ramadan Santai di Bandar Tasik Puteri mempunyai kira-kira 300 tapak gerai sepanjang satu kilometer.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sehingga pukul 9 malam ini. – KOSMO! ONLINE














