fbpx
PROGRAM Wanita Itu: Ramadan, Doa dan Syurga yang berlangsung di Masjid Asy-Syakirin di KLCC baru-baru ini mengetengahkan tema Ramadan.

Wanita Itu: Ramadan, Doa & Syurga himpun 6,000 wanita tadabbur al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUASANA di Masjid Asy-Syakirin di KLCC, Kuala Lumpur pada dua minggu lalu berbeza dengan hari-hari sebelumnya.

Kebiasaannya, masjid yang terletak di lokasi tumpuan pelancong tersebut menjadi destinasi pilihan orang ramai untuk singgah mengerjakan rukun Islam kedua terutamanya.

Namun, masjid itu baru-baru ini menjadi tumpuan apabila hampir 6,400 orang peserta terutama wanita hadir bagi mengikuti program Wanita Itu: Ramadan, Doa & Syurga.

Kehadiran peserta yang begitu ramai itu  sekali gus menandai pencapaian penting sebagai edisi ke-10 segmen Wanita Itu yang baru berlangsung sejak tahun lalu. 

Bermula dengan sekitar 600 peserta pada edisi awal, segmen Wanita Itu berkembang secara konsisten menjadi satu gerakan ilmu wanita berskala besar yang berlandaskan nilai Islam dan pembangunan insan.

Teras utama Wanita Itu adalah Iqra’, budaya membaca, menuntut ilmu dan memahami yang dijadikan asas kepada seluruh ekosistem program. 

Pendekatan ini bertujuan memastikan wanita sentiasa berada dalam perjalanan ilmu sepanjang hayat, bukan sekadar hadir ke majlis ilmu secara episodik.

Menurut pengasas program Wanita Itu, Dr. Noor Amy Ismail, penekanan terhadap Iqra’ adalah kunci kepada pembentukan wanita yang berdaya tahan secara rohani, intelektual dan emosi.

“Kami mahu melahirkan wanita yang terus membaca, bertanya, merenung dan berkembang. Iqra’ adalah permulaan kepada kesedaran, kekuatan dan kepimpinan wanita.

“Melalui Wanita Itu, ilmu disampaikan secara berperingkat dan berterusan, merangkumi tadabbur al-Quran, kefahaman ayat, refleksi kehidupan serta aplikasi nilai Islam dalam realiti moden,” katanya.

Tadabbur dan tadarus al-Quran antara pengisian program.

Tambahnya, pendekatan ini membina keyakinan wanita untuk mendekati agama dengan kefahaman yang seimbang, matang dan penuh empati.

Program Wanita Itu: Ramadan, Doa & Syurga berlangsung dari tengah malam meliputi iktikaf, qiyamullail  sehingga ke waktu zuhur. Peserta disajikan dengan pengisian rohani yang berstruktur termasuk tadabbur dan tadarus al-Quran berteraskan tema Ramadan dan pembinaan jiwa.

Tazkirah dan sesi refleksi kendiri yang menghubungkan ilmu dengan kehidupan seharian dan doa serta munajat yang membina hubungan mendalam antara hamba dan Pencipta turut diadakan.

Keseluruhan program dirangka agar peserta bukan sahaja memperoleh ilmu, tetapi turut melalui proses penghayatan, muhasabah dan pengukuhan spiritual selaras dengan semangat iqra’ yang berterusan.

Kata Dr. Noor Amy, program tersebut turut menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada generasi muda yang semakin terbuka untuk mendekati majlis ilmu dalam suasana yang selamat, inklusif dan tidak menghakimi. 

“Wanita Itu menyediakan ruang pembelajaran yang relevan, membolehkan generasi muda membina hubungan sihat dengan agama melalui kefahaman, bukan paksaan.

“Pendekatan ini secara tidak langsung memupuk budaya cintakan ilmu dan al-Quran serta membentuk generasi wanita yang yakin, berprinsip dan berakar pada nilai iman,” jelasnya.

Selain pengisian rohani, program ini turut menyokong pemerkasaan ekonomi wanita melalui penglibatan 50 orang vendor wanita merangkumi pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang. 

Pendekatan ini mencerminkan prinsip Wanita Itu yang percaya kepada sokongan silang komuniti dan ekonomi yang beretika.

Dalam aspek kebajikan, sedekah yang disumbangkan daripada program ini disalurkan kepada Islamic Relief Malaysia. 

SUASANA pagi di Masjid Asy-Syakirin yang berlatar mercu-mercu gah negara semasa program berlangsung.

Hasil kerjasama ini turut membawa kepada penubuhan Wanita Itu Impact Fund, satu inisiatif jangka panjang untuk melatih dan membangunkan 50 orang wanita daripada isi rumah rentan, termasuk komuniti yang berdepan cabaran kesihatan mental.

Melalui inisiatif ini dan kerjasama dengan MadCash Sdn. Bhd., peserta berpotensi menerima latihan serta pembiayaan mikro patuh syariah antara RM1,000 hingga RM5,000 bagi menyokong laluan keusahawanan dan kelangsungan ekonomi secara mampan.

Wanita Itu kekal sebagai sebuah gerakan komuniti yang berpaksikan nilai ilmu, ihsan dan khidmat, dengan iqra’ sebagai nadi utama. 

Program ini membuktikan bahawa apabila wanita diperkasa dengan ilmu yang berterusan, mereka bukan sahaja membina diri, malah berupaya mengangkat keluarga, komuniti dan masyarakat secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Amalia Rosdi, 32, tidak melepaskan peluang untuk menghadirkan diri ke program tersebut dan ini adalah kali ketiga dia menyertai program Wanita Itu.

“Saya menyertai program ini kerana diisi dengan sesi tadabbur al-Quran untuk memahami ayat-ayat al-Quran.

“Selain itu, saya juga berpeluang untuk mengikuti tazkirah tentang kebaikan dan kelebihan Ramadan,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan program itu sesuatu yang baik kerana memberi keseimbangan hidup antara dunia dan akhirat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN