fbpx
Michelle Yeoh meraih pengiktirafan industri perfileman Hollywood apabila namanya diabadikan di Hollywood Walk of Fame.

‘Dari Malaysia bukan mudah’ – Nama Michelle diabadikan Walk of Fame

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTRES antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh meraih pengiktirafan industri perfileman Hollywood apabila namanya diabadikan di Hollywood Walk of Fame, hari ini.

Anak jati asal Ipoh, Perak itu diraikan dalam majlis gilang gemilang yang turut dihadiri selebriti terkemuka dunia yang pernah bekerjasama dengannya.

Tampil memukau menggayakan gaun sutera kuning, Michelle, 63, menzahirkan penghargaan kepada ibu bapanya atas sokongan berterusan serta kepada abang dan kakak iparnya yang terbang dari Malaysia, sekali gus membuat kejutan pada acara bersejarah itu.

“Kepada anda semua di sini hari ini, keluarga pilihan saya, terima kasih kerana hadir, berdiri bersama saya dan menjadi sebahagian daripada hidup saya.

“Bukan hanya ada pada saat-saat gemilang tetapi juga ketika fasa kesunyian. Kehadiran anda amat bermakna,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Begitupun, pada majlis rasmi di hadapan bangunan ikonik TCL Chinese Theatre suaminya, Jean Todt, tidak dapat bersama mereka kerana berada di India atas urusan kerja.

Pada ucapan sama, penerima Oscar itu turut mengimbas pengembaraan sarat cabaran dari Malaysia ke Hong Kong sebelum diterima di Hollywood.

“Laluan dari Malaysia ke sini bukanlah satu garis lurus. Ada masanya saya tertanya‑tanya sama ada saya benar‑benar layak berada di sini.

“Tetapi saya bertuah kerana menjadi sebahagian daripada kisah‑kisah yang melintasi sempadan dan bahasa,” ujarnya.

Michelle menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang namanya di abadikan di Hollywood Walk of Fame. — INSTAGRAM MICHELLE YEOH.

Sementara itu, penerbit Hollywood Walk of Fame, Ana Martinez, memuji perjalanan seni Michelle selain menyifatkan bintang diberikan sebagai penghormatan kepada perintis industri.

“Bakat luar biasa, keanggunan dan kerjaya Michelle yang memecah batas telah meninggalkan kesan mendalam dalam dunia hiburan.

“Bintang ini juga mengiktiraf seorang perintis yang terus menyuntik inspirasi kepada penonton di seluruh dunia,” katanya.

Hollywood Walk of Fame merupakan laluan penghormatan di antara Hollywood Boulevard dan Vine Street, Los Angeles, Amerika Syarikat yang dikelolakan Hollywood Chamber of Commerce.

Lebih 2,000 bintang dianugerahkan kepada individu atau kumpulan yang memberi sumbangan besar dalam industri hiburan seperti filem, muzik, televisyen, radio dan teater langsung.

Michelle adalah penerima ke 2,836 bagi bintang gah tersebut.

Sebelum ini, pada Jun 2023, namanya diumumkan sebagai antara penerima bintang itu sebaris dengan tokoh industri lain termasuk Presiden Marvel Studios, Kevin Feige, serta mendiang pelakon, Carl Weathers.

Selepas merangkul Oscar menerusi filem Everything Everywhere All at Once, momentum kariernya terus memuncak apabila membintangi lebih banyak filem pecah panggung termasuk Wicked: For Good selain bakal muncul dalam francais epik arahan James Cameron, Avatar 4 dan Avatar 5.

Personaliti popular itu lebih dulu dinamakan sebagai Ikon Tahunan Majalah Time pada 2022 dan dilantik sebagai Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) sejak 2016 yang memperjuangkan kesedaran alam sekitar serta pembangunan mampan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN