SEREMBAN – Seorang bayi lelaki berusia dua bulan dipercayai menjadi mangsa dera pengasuh dalam kejadian di Kampung Kayu Ara Mambau, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, bayi malang itu dihantar oleh ibunya ke rumah pengasuh pada awal pagi dan dijemput pada pulul 5.10 petang hari yang sama.
“Sebaik wanita itu mengambil bayinya, dia melihat ada kesan calar di dada selain lebam pada pipi kiri. Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan.
“Pegawai perubatan mengesahkan terdapat kesan kuku dan melecet pada dada serta lebam di pipi kiri. Mangsa ditempatkan di Wad Pediatrik untuk pemerhatian lanjut dan stabil,” katanya ketika dihubungi.
Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan dan memanggil seorang wanita berusia 46 tahun yang juga pengasuh bayi tersebut bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati suspek mengasuh kanak-kanak sejak dua tahun lalu, tetapi tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak‑Kanak 2001,” katanya.- KOSMO! ONLINE














