fbpx
MUHAMMAD RIDHWAN dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah mencuri ubat-ubatan bernilai lebih RM800, tahun lalu.

Buruh dijel 12 bulan curi Panadol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang buruh terpaksa meringkuk dalam penjara selama 12 bulan selepas mengaku bersalah mencuri ubat termasuk 28 papan paracetamol bernilai RM853.20.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Ridhwan Abd. Rahman, 30, yang menghadapi empat pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati mencuri 21 papan Panadol pelbagai jenis untuk kegunaan sendiri dalam milikan wanita bernilai RM282.80 di sebuah premis FamilyMart di Sungai Udang pada pukul 7.47 malam, 28 November 2025.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh mencuri empat kotak Panadol Actifast 20s, tujuh papan Panadol Actifast Compact serta tiga kotak Panadol New Blister daripada milikan seorang wanita di premis FamilyMart  Taman Nirwana, Klebang pada pukul 4.25 petang, 27 Oktober 2025.

Tertuduh turut mengaku bersalah mencuri pelbagai ubat-ubatan menyebabkan kerugian RM248.30 di 7-Eleven Jalan Rambai Jaya 2, Taman Rambai Jaya pada pukul 5.35 petang, 20 November 2025.

Manakala bagi pertuduhan keempat, lelaki itu didakwa mencuri 21 biji Panadol pelbagai jenis bernilai RM322.10 milik FamilyMart di Taman Rambai Jaya pada pukul 1.57 tengah hari, 29 Januari 2026.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan keempat, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Peguam Umar Zulkarnain memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara yang singkat dengan alasan tertuduh yang bekerja sebagai buruh merupakan penanggung utama keluarga.

Hujahnya, tempoh hukuman penjara yang panjang dikhuatiri akan menjejaskan kebajikan ibu bapa tertuduh yang uzur.

Timbalan Pendakwa Raya, Shauki Mardia Baharudin bagaimanapun memohon hukuman berbentuk pengajaran kerana tertuduh melakukan kesalahan itu secara berulang kali demi kepentingan peribadi.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan secara berasingan bermula dari tarikh ditangkap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI