MELAKA – Seorang ibu empat anak didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah telibat dalam aktiviti persundalan di sebuah hotel di bandar ini, minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 46 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didapati mencari langganan bagi tujuan persundalan di sebuah hotel di Jalan Persisiran Bunga Raya kira-kira pukul 8.05 malam, 12 Februari 2026.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shauki Mardia Baharudin memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Peguam Nigel Tai bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan tertuduh menyara dua anak masing-masing di universiti dan menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau empat bulan penjara sekiranya gagal bayar. Tertuduh membayar denda tersebut.-KOSMO! ONLINE.














