PEMAIN beregu campuran negara, Toh Ee Wei berharap kehadiran Tahun Baharu Cina yang juga Tahun Kuda membawa tuah buat dirinya dan pasangan, Chen Tang Jie menjelang aksi di Kejohanan Badminton All England di Birmingham dari 3 hingga 8 Mac ini.
Tegas Ee Wei, fokus utamanya ketika ini adalah memastikan persiapan berada pada tahap terbaik selain bebas daripada sebarang kecederaan menjelang kejohanan berprestij tersebut.
“Saya harap dapat buat persiapan secara maksimum dan tidak mengalami kecederaan sebelum turun beraksi di Seluruh England nanti,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sebagai rekod, pasangan yang juga juara dunia dan kini menghuni ranking keempat dunia itu sudah beraksi di All England sejak edisi 2023 dengan pencapaian terbaik mara ke pusingan kedua pada 2024.
Gandingan beregu campuran negara itu membuka kempen 2026 dengan baik apabila mencipta sejarah apabila muncul juara Indonesia Masters selepas menewaskan pasangan Denmark, Mathias Christiansen–Alexandra Boje.
Dalam pada itu, Ee Wei mengakui peluang berkumpul bersama keluarga menjadi detik paling dinantikan biarpun hanya sempat meraikan ke kampung halaman selama dua hari sebelum kembali menyambung latihan.
“Tahun Baharu Cina sama sahaja. Kadang-kadang ada kejohanan, kadang-kadang boleh balik dua hari jumpa keluarga, kemudian sambung latihan,” ujarnya yang akan meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga di Melaka dan mahu memanfaatkan cuti singkat itu sebaik mungkin sebelum kembali ke Kuala Lumpur.














