BAGAN DATUK – Dua beradik dan bapa saudara mereka maut selepas kereta yang dinaik bertembung dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 25, Batu 16 Hutan Melintang-Bagan Datuk berdekatan Sungai Sumun di sini semalam.
Dalam nahas pada pukul 2.30 petang itu, Muhammad Adam Rifqi Mohd Fairuz, 12, disahkan maut di tempat kejadian, manakala adiknya, Nur Aadimiyya Rifqina, 6, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Sungai Sumun.
Turut terkorban ialah pemandu kereta jenis Kia yang juga bapa saudara kanak-kanak itu, Muhammad Nashrul Zainal Anuar, 26. Muhammad Nashrul meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Teluk Intan.
Difahamkan, tiga lagi ahli keluarga yang berada dalam kenderaan sama termasuk seorang bayi perempuan berusia enam bulan cedera parah. Kejadian dikatakan berlaku ketika enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Bagan Datuk.
Sementara itu, waris mangsa, Nur Ain Ahmad Zamri, 28, memohon saksi kemalangan supaya tampil berkongsi maklumat kejadian kemalangan tersebut bagi membantu siasatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kemalangan itu diminta menyerahkan video tersebut kepada pihak polis Hutan Melintang bagi membantu siasatan.
“Saya minta mana-mana individu atau saksi yang berada di lokasi untuk berkongsi maklumat kepada pihak polis. Sejak semalam, tiada pihak yang tampil mendedahkan kejadian sebenar. Kami hanya dengar ceirta orang, tidak tahu yang mana satu betul,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali memaklumkan, kenyataan akhbar mengenai kemalangan tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE














