SEREMBAN – Pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini dikesan ‘lari’ ke daerah Kuala Pilah yang dijadikan lokasi penempatan sementara bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS), Kennith Tan Ai Kiang berkata, hasil risikan mendapati berlaku tren perpindahan PATI yang lari dari Seremban menuju ke Kuala Pilah menerusi Ops Timur yang dijalankan selama dua tahun berturut-turut.
“Apabila kita mempergiatkan operasi di Seremban termasuk, berlakulah perpindahan mereka (PATI) keluar dari Seremban.
“Kuala Pilah dipilih disebabkan beberapa faktor, dari segi jarak yang tidak berapa jauh, peluang pekerjaan banyak ladang ladang dan kawasan belum diduduki,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Kennith, Kuala Pilah hanya dijadikan sebagai lokasi transit dan PATI akan pulang semula ke Seremban apabila daerah itu kembali tenang dari operasi penguatkuasaan.
Jelas Kennith, bagi meneruskan hidup, PATI itu akan bekerja di sektor pertanian seperti menjaga ternakan atau kawasan ladang.- KOSMO! ONLINE














