fbpx
Warga asing turun dari bumbung ketika cubaan melarikan diri dalam operasi bersepadu di jalankan oleh Jabatan Imigresen Selangor di Apartmen Seri Semarak, Bukit Beruntung, malam tadi.

Warga asing hidup ‘ditaja rakan’ setahun di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Seorang lelaki warga Pakistan mengaku hidup sepenuhnya atas tajaan rakan selama setahun di Malaysia tanpa bekerja, sebelum kegiatannya terbongkar dalam satu operasi bersepadu Jabatan Imigresen Selangor di Apartmen Seri Semarak, Bukit Beruntung.

Lelaki berusia 22 tahun itu mendakwa dia memasuki negara ini menggunakan penerbangan dengan alasan melancong, namun terus menetap dan bergantung sepenuhnya kepada rakan bagi menampung sewa rumah serta makan minumnya.

“Saya tak pernah kerja. Setahun di sini cuma minta duit daripada kawan. Sewa rumah pun kawan yang bayar,” katanya kepada pemberita ketika operasi berkenaan malam tadi.

Menurutnya, dia panik selepas melihat beberapa warga asing lain ditahan dalam operasi berkenaan.

“Saya takut sebab tiba-tiba semua kena tahan, jadi saya panjat sahaja (bumbung) tanpa fikir keselamatan untuk selamatkan diri,” ujarnya.

Dalam cubaan melarikan diri itu, lelaki berkenaan bertindak memanjat bumbung apartmen setinggi lima tingkat sebelum berjaya dipujuk turun oleh anggota penguat kuasa.

Dia turut bertindak agresif ketika ditahan sehingga terpaksa digari, malah melakukan pelbagai helah termasuk berpura-pura disakiti bagi mengelakkan diambil tindakan.

Sementara itu, seorang lagi warga asing yang mendakwa dirinya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Halim, 59, berkata, dia telah tinggal di Malaysia sejak sembilan tahun lalu bersama isteri dan dua anaknya.

Katanya, dia kini menganggur selepas dibuang kerja dua bulan lalu kerana majikan enggan menggajikannya semula disebabkan status pemegang kad UNHCR.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai pencuci dengan gaji RM1,500 sebulan, cukup untuk tampung keluarga.

“Sewa rumah di sini RM400 sebulan, jadi pendapatan itu memang cukup untuk kami sekeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk setempat mendakwa kehadiran segelintir warga asing di kawasan berkenaan sering menimbulkan rasa tidak selesa.

“Kami rimas sebab mereka selalu buat kecoh di kawasan ini, antaranya mabuk dan suka buat bising, itu sangat menganggu kami (penduduk di sini),” jelasnya.

Operasi yang bermula pukul 8.30 malam dan berakhir pukul 1 pagi itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Negara serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN