fbpx
Kitson Foong ketika ditemui media di lobi Kompleks Mahkamah Shah Alam. -Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!

Remaja tak mengaku tikam pelajar 16 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang pelajar lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah tahun lalu.

Remaja berusia 15 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Adlin Abdul Majid dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Pada prosiding itu, hanya peguam dan keluarga remaja berkenaan dibenarkan berada di kamar mahkamah kerana melibatkan kes juvana.

Berdasarkan pertuduhan, remaja itu didakwa membunuh mangsa di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi, 14 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Peguam Kitson Foong mewakili tertuduh, memaklumkan pertuduhan itu dibacakan secara penuh dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

“Dia (anak guam) yang memahami pertuduhan kemudian membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

“Justeru, tarikh-tarikh perbicaraan akan ditetapkan mahkamah ketika sebutan pengurusan kes pada 6 Mac depan,” katanya ketika ditemui di lobi mahkamah itu.

Menurut Kitson, pembelaan menjangkakan prosiding akan berlangsung selama dua minggu sekitar Julai depan kerana pihak-pihak tidak mahu memanjangkan kes.

“Mahkamah turut memutuskan hanya pihak pembelaan tertuduh dan barisan pendakwaan dibenarkan mengikuti perbicaraan kelak.

“Kebenaran turut diberikan kepada dua peguam pemerhati Majlis Peguam Malaysia dan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) untuk berada di kamar mahkamah ketika prosiding itu,” ujarnya.

Tambah beliau, mahkamah tidak membenarkan kehadiran peguam pemerhati bagi keluarga mangsa kerana kemungkinan merema dipanggil memberi keterangan sebagai saksi kes.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN