LONDON – Bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah wajar menerima hukuman dan tidak dibenarkan beraksi buat kali terakhir bersama pasukan itu pada perlawanan penutup musim ini menentang Brentford, Ahad nanti.
Salah dalam satu hantaran di media sosial beberapa hari lalu seakan mempertikai corak permainan yang digunakan oleh pengurusnya, Arne Slot dan seolah membandingkannya dengan apa yang pernah diterapkan oleh Jurgen Klopp.
Pemain yang bakal meninggalkan Anfield musim panas ini mengakui mahu melihat Liverpool kembali dengan corak permainan menyerang yang agresif yang dianggap sebagai identiti pasukan itu dan sesiapa yang berada di kelab itu perlu menerimanya.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut ditegur oleh oleh bekas penggempur Manchester United, Wayne Rooney yang menganggap ia sebagai keterlaluan dan tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang yang dianggap legenda di Liverpool.
“Dia mahu bermain bola sepak secara ‘heavy metal’, jadi asasnya dia mengatakan dia mahukan bola sepak cara Jurgen Klopp. Namun, saya rasakan Salah sekarang tidak lagi mampu bertahan dengan cara permainan seperti itu.
“Jika saya adalah Arne Slot, saya tidak akan benarkan dia berada di berhampiran stadium pada perlawanan terakhir. Saya pernah lalui ketika bersama Alex Ferguson, saya bercanggah pendapat dan pada akhirnya, dia sisihkan saya pada perlawanan terakhir di Old Trafford.
“Salah seolah-olah menggugurkan bom ke dalam pasukan apabila mengatakan tidak yakin dengan Arne Slot,” katanya. – AGENSI














