PETALING JAYA – Sebanyak empat kebakaran hutan dilaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam tempoh 24 jam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran tersebut berlaku di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS), Tanjung Sepat, Banting.
Selain itu, turut dilaporkan kejadian kebakaran di Jalan Mawar 4A, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dan Jalan As Salam, Taman Saffron, Bukit Sentosa.
“Kebakaran berlaku sekitar pukul 11.15 pagi semalam hingga 8 pagi hari ini. Di Jalan Batang Kali-Genting Highlands Komander Operasi melaporkan kebakaran berlaku di lereng bukit anggaran kecerunan 70 peratus dengan keluasan yang terbakar dianggarkan tujuh ekar,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran terbesar dilaporkan pada pukul 8 pagi di Komaun 15, HSKLS, Tanjung Sepat, Banting melibatkan hutan berkeluasan anggaran 30 ekar.
“Terdapat anggaran 12 ‘spot’ kebakaran dan tiga ‘spot’ utama. Tindakan awal adalah melakukan ‘fire break’ dengan menggunakan empat excavator.
“Ketika ini kerja-kerja kawalan dan pemadaman sedang dijalankan pasukan bomba BBP Banting yang dibantu Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM),” katanya.
Katanya, kebakaran yang dilaporkan di Jalan Mawar 4A, membabitkan kawasan seluas 17 hektar yang berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.30 pagi hari ini.
Selain itu, kebakaran di Jalan As Salam, kebakaran melibatkan hutan berkeluasan lapan ekar telah berjaya dipadamkan sepenuhnya. – KOSMO! ONLINE














