MOGADISHU – Seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan di Somalia menerima pujian ramai kerana berjaya mendaratkan pesawat yang mengalami kerosakan teknikal di pesisir pantai tanpa menyebabkan kemalangan jiwa, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).
Starsky Aviation dalam satu kenyataan berkata, tindakan pantas juruterbang terbabit berjaya menyelamatkan nyawa 50 penumpang dan lima kru penerbangan.
Kru pesawat jenis Fokker 50 itu melaporkan masalah sejurus selepas berlepas dari Mogadishu pada pagi semalam dan memohon kebenaran untuk berpatah balik, demikian menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAA) Somalia.
Pengarah CAA, Ahmed Macalin Hassan berkata, pesawat itu cuba mendarat tetapi gagal berhenti di landasan, menyebabkan ia terbabas dan terkandas di perairan cetek.
Rakaman video dimuat naik di platform X menunjukkan penumpang berjalan meninggalkan pesawat di pantai Lautan Hindi.
“Kami mengesahkan bahawa semua penumpang dan anak kapal selamat. Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan masalah teknikal yang membawa kepada pendaratan cemas.
“Keputusan juruterbang yang pantas dan tenang memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan semua orang dalam kapal terbang dan kami memuji cara dia mengendalikan situasi itu,” kata jurucakap Starsky Aviation, Hassan Mohamed Aden. – AGENSI














