SEBERANG PERAI – Reman terhadap tiga lelaki termasuk dua kenalan kepada seorang ibu tunggal yang maut dibunuh di Kediamannya di Flat Sri Murni, Butterworth di sini, Rabu lalu disambung lagi hari ini.
Tempoh reman selama tujuh hari terhadap dua lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar itu sepatutnya berakhir 11 Februari, hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi Kosmo! berkata, permohonan sambung reman itu dilakukan di Mahkamah Majistret Butterworth pada pagi ini.
“Belum didakwa, sambung reman hari ini untuk bantu lengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, Azizee dilaporkan berkata, polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan wanita yang juga pemandu van sekolah itu dipercayai angkara perasaan cemburu suspek terhadap mangsa.
Dalam kejadian Rabu minggu lalu, mayat mangsa berusia 41 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring dalam sebuah bilik tidur dengan kesan luka kelar pada lehernya dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam.
Kejadian tersebut disedari jiran mangsa sebelum melaporkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU). – KOSMO! ONLINE














