SEGALANYA bermula dengan rasa ingin tahu terhadap alam dan teknologi.
Soalan tentang bintang, roket dan eksperimen sains secara perlahan-lahan membentuk minat Muhammad Khawarizmi Muhamad Kamalrul Zaman terhadap dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Minat itu tidak sekadar hobi, sebaliknya berkembang menjadi satu perjalanan bermakna yang membawa anak jati Kedah tersebut menyentuh projek sebenar.
Remaja berusia 17 tahun tersebut sebenarnya telah dikenali dengan kepintaran dalam dunia sains sejak usianya 10 tahun apabila dia diberikan gelaran Rocketeer Termuda
Malaysia setelah mereka bentuk dan mencipta model roket bahan api pepejal sendiri menggunakan perisian reka bentuk komputer (CAD) dan teknik pencetakan 3D.
Bukan itu sahaja, semuda itu lagi dia sudah menjelajah ke pelbagai negeri melalui jemputan pihak Minggu Sains Negara.
“Tahun berikutnya, saya diberi peranan sebagai pembantu fasilitator bagi program Keterujaan STEM melalui Model Rocket dan 3D Printing serta mula mempelajari perisian Unreal Engine.
“Pada usia 12 tahun, saya diiktiraf sebagai Ikon STEM Kids Malaysia Techlympics dan mula mempelajari bahasa pengaturcaraan C/C++, C#, DART, serta mengendalikan MySQL, PHP dan server.
“Saya telah membina sistem pemampat bahan api pepejal untuk model roket STEM dan juga membangunkan aplikasi mudah alih bagi pelancaran model roket bahan api pepejal,” katanya ketika dihubungi K-Remaja.
Muhammad Khawarizmi kembali mencuri perhatian ramai apabila mendapat liputan pelbagai media baru-baru ini yang tertarik dengan kepintaran dan bakat menakjubkan dimilikinya sekali gus dilihat sebagai prospek pakar teknologi negara.
Anak sulung daripada tiga beradik ini bukan sekadar mahir dalam reka bentuk, tetapi juga dalam pengaturcaraan (programming), pengekodan, kejuruteraan dan pembangunan aplikasi untuk mengawal pelancaran roket.
Muhammad Khawarizmi turut terlibat dalam pelbagai projek teknologi lain termasuk pengaturcaraan makmal maya, aplikasi telefon pintar dan permainan pendidikan.
Sebagai remaja dengan minat mendalam dalam teknologi dan pengaturcaraan, kini Muhammad Khawarizmi turut ditawarkan untuk terlibat dalam pembangunan perisian berkaitan keselamatan.
Menurut Muhammad Khawarizmi, kemahiran pengurusan masa yang cemerlang diperlukan dalam menyeimbangkan komitmennya antara sekolah, projek dan pembelajaran pengaturcaraan sendiri.
“Semasa hari persekolahan, saya memperuntukkan sekitar satu hingga dua jam untuk projek sekiranya kerja sekolah tidak terlalu banyak.
“Sementara itu, waktu cuti membolehkan saya menumpukan lebih lama, antara tiga hingga empat jam untuk mengejar eksperimen dan pembangunan teknologi.
“Walaupun sibuk dengan aktiviti STEM, saya tetap mendahulukan pelajaran, terutamanya menjelang peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
“Saya ambil 10 subjek SPM. Oleh itu, saya perlu pastikan saya tidak tertinggal mana-mana sesi pembelajaran,” katanya.
Hasil komitmennya, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Syed Omar, Alor Setar itu berjaya merekodkan beberapa pencapaian sepanjang berada di sekolah menengah.
Muhammad Khawarizmi memenangi pertandingan di peringkat kebangsaan misalnya di My Robotic Challenge apabila dia dan rakan sekolah menjuarai kategori Inovasi
Kreatif Reka Edukit, selain pernah meraih kejayaan menerusi MyRocket2, sistem pelancaran model roket bahan api pepejal yang memenangi Johan Negeri Kedah dan Kebangsaan.
Bukan sekadar menempa kejayaan dalam pertandingan-pertandingan, dia juga berjaya menghasilkan pelbagai reka cipta yang memberi impak.

Pada usia 13 tahun misalnya menyaksikan Muhammad Khawarizmi menghasilkan NexusONE, sebuah peranti kehadiran mudah alih, serta NexusPLUS, peranti kehadiran untuk kegunaan jabatan kerajaan.
Dia juga bereksperimen dengan teknologi Augmented Reality menggunakan Unreal Engine sehingga ditemu bual oleh Dewan Siswa dan disiar sebagai Ikon STEM Remaja sambil mula mempelajari Jetson Nano NVIDIA.
Projek NexusPRO yang dihasilkannya pada usia 14 tahun kini digunakan di Jabatan Kimia Malaysia Negeri Kedah sebagai projek eksperimen.
Muhammad Khawarizmi juga mencipta Trinect 1 dan Trinect 2, aplikasi pertanian pintar yang turut digunakan untuk pertandingan.
Dia turut menaik taraf Trinect 2 menjadi Trinect 3 dan membangunkan dunia Virtual Reality untuk sebuah Makmal Bergerak milik Jabatan Kimia Malaysia.
Projek ini menarik perhatian syarikat tempatan dan Finland, dibangunkan bersama dua orang adiknya sebagai pereka bentuk 3D.
Ketika berusia 15 tahun, Muhammad Khawarizmi menandatangani kontrak sebagai Embedded Programmer (Retainer) untuk sebuah syarikat berkaitan komunikasi satelit dan projek telah berjaya diselesaikan.
Dia turut menyertai sebuah syarikat tempatan sebagai XR Developer dan programmer bagi membangunkan perisian keselamatan.
Ketika berumur 16 tahun, Muhammad Khawarizmi menghasilkan projek inovasi EYLA (Elderly Life Assistant) serta mempelajari Vulkan API sambil meneruskan projek komersial syarikat.
Mengulas berkenaan pengalamannya menyertai projek-projek terlibat, Muhammad Khawarizmi gembira berpeluang bekerja rapat dengan keluarga, termasuk bapa dan adik-adik, dalam menyelesaikan cabaran sebenar di lapangan.
“Pengalaman ini membolehkannya merasai sendiri bagaimana projek sebenar dijalankan bersama pelanggan dan bukan sekadar dalam buku atau teori.
“Situasi ini amat unik kerana saya masih di bangku sekolah, tetapi sudah terdedah kepada dunia pekerjaan sebenar, di mana setiap keputusan dan penyelesaian yang dibuat mempunyai impak sebenar.
“Ia memberi saya pemahaman yang mendalam tentang tanggungjawab, komunikasi profesional serta bagaimana ilmu STEM diaplikasikan secara praktikal dalam kehidupan seharian,” katanya.
Untuk pengajian tinggi, Muhammad Khawarizmi bercadang melanjutkan pelajaran dalam bidang sains di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Namun, jika terdapat peluang belajar di luar negara, khususnya di Jerman, dalam bidang yang berkaitan dengan teknologi dan pertahanan, dia mungkin akan mempertimbangkannya.
Selepas menamatkan pengajian, Muhammad Khawarizmi bercadang untuk menubuhkan syarikat yang akan menumpukan perhatian kepada projek-projek perintis berkaitan pertahanan, terutama dalam bidang projek digital dan teknologi pertahanan.
Dia juga menyatakan bahawa projek-projek seterusnya akan terus berkembang dalam gabungan pertahanan dan digital.
Meletakkan Steve Jobs sebagai antara tokoh yang dikaguminya, Muhammad Khawarizmi berharap mampu membawa satu kelainan dalam bidang STEM.
“Saya banyak ambil inspirasi daripada tokoh seperti Steve Jobs terutama dari segi inovasi dan ciptaan baharu.
“Cara beliau mencipta teknologi yang praktikal dan memberi impak kepada ramai orang sentiasa menjadi panduan untuk saya dalam membangunkan projek sendiri, terutama projek-projek berkaitan teknologi.
“Saya cuba belajar daripada pendekatan beliau dalam menyelesaikan masalah secara kreatif, bereksperimen dengan idea baharu dan tidak takut untuk mencuba sesuatu yang belum pernah dibuat sebelum ini,” katanya.














