HULU TERENGGANU – Tiga lelaki warga Bangladesh yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan polis di Tasik Kenyir di sini, kelmarin.
Ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 29 hingga 44 tahun itu diselamatkan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu pada pukul 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa telah diperdaya menjadi buruh paksa di sebuah tapak pembinaan berhampiran Tasik Kenyir sejak lima bulan lalu.
“Sepanjang tempoh tersebut, ketiga-tiga mendakwa tidak dibayar gaji sekaligus memaksa mereka menangkap ikan dan hasil hutan sebagai makanan demi kelangsungan hidup.
“Kesemua lelaki warga asing itu juga mendakwa mereka dipaksa bekerja sebagai buruh binaan dengan waktu kerja yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sharudin berkata, susulan penemuan tiga lelaki warga Bangladesh tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun disyaki majikan mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, suspek sedang disiasat mengikut Seksyen 44 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 12 akta sama. – KOSMO! ONLINE














