PETALING JAYA – “Ingat dagu berlipat sebab pipi ‘pau’ atau berat badan naik? Cuba tengok cermin sekarang sambil tunduk main telefon bimbit (handphone). Nampak tak lipatan dekat leher?”
Itu antara persoalan oleh Public Health Malaysia (PHM) kepada orang ramai sama ada mereka kini memiliki struktur wajah seperti yang digambarkan.
Menurut PHM, ia bukan soal gemuk, tetapi postur kepala ketika individu menggunakan telefon bimbit masing-masing.
“Bila kepala ke depan, rahang bawah automatik lari kedudukan, buat dagu nampak penuh dan leher nampak pendek. Muka pun nampak cepat ‘jatuh’ sebelum usia,” jelas PHM menerusi media sosial, semalam.
Tambah PHM, cara mudah untuk mengelakkan keadaan itu berlaku adalah dengan mengangkat telefon bimbit lebih tinggi sehingga paras mata ketika menggunakannya.
“Biar tangan yang lenguh, jangan leher jadi mangsa. Buat senaman ‘chin tuck’ (tolak dagu ke belakang) sekali-sekala untuk set semula kepala tu ke posisi asal. Jangan sampai leher dah macam kura-kura baru nak menyesal.
“Ubah rutin kecil ni sekarang, atau reda saja dengan dagu berlapis tu. Pilihan di tangan (yang pegang telefon) anda,” tambah PHM. – KOSMO! ONLINE














