WASHINGTON – Presiden Donald Trump semalam mengancam untuk menyekat pembukaan sebuah jambatan baharu yang menghubungkan Amerika Syarikat(AS) dan Kanada.
Trump berkata, Amerika sepatutnya memiliki ‘sekurang-kurangnya separuh’ daripada Jambatan Antarabangsa Gordie Howe yang masih dalam pembinaan. Jambatan itu menghubungkan wilayah Ontario di Kanada dengan negeri Michigan di AS.
Kerja pembinaan jambatan bernilai AS$4.7 bilion(RM18.4 bilion) itu bermula pada 2018 dan ia dijadualkan dibuka akhir tahun ini.
“Saya tidak akan membenarkan jambatan ini dibuka sehingga Amerika Syarikat diberi pampasan penuh untuk segala yang telah kami berikan kepada mereka (Kanada), dan Kanada melayan Amerika Syarikat dengan keadilan dan hormat sewajarnya,” tulis Trump di laman Truth Social.
Pemimpin Parti Republikan berusia 79 tahun itu mengadu bahawa Kanada memiliki kedua-dua belah jambatan itu dan menggunakan ‘hampir tiada’ produk AS untuk membinanya.
“Dan sekarang, Perdana Menteri (Mark) Carney mahu membuat perjanjian dengan China,” tambah Trump.
Washington mengancam mengenakan tarif 100 peratus ke atas Kanada selepas Carney melawat Beijing bulan lalu dan memeterai perjanjian perdagangan awal dengan China.
Trump bertelagah dengan Kanada mengenai isu perdagangan sejak kembali memegang jawatan pada Januari 2025. Beliau sebelum ini menyeru agar AS mengambil alih Kanada tetapi menggugurkan tuntutan beliau dalam beberapa bulan kebelakangan ini. – AFP














