Robot humanoid dihasilkan banyak negara yang bersaing hebat antaranya China, Jepun, Rusia, Perancis, India dan Amerika Syarikat dalam membangunkan robot menarik.
Sebuah syarikat pemula dari Amerika Syarikat, Fauna Robotics baru-baru ini mencuri perhatian apabila menghasilkan robot humanoid terbaharu diberi nama Sprout.
Disifatkan kelihatan mesra manusia dengan rupa yang tidak menakutkan seperti sesetengah humanoid lain, robot ‘tauge’ itu tidak direka untuk mengangkut kotak atau menyusun barang di rak seperti yang digunakan dalam industri berat, sebaliknya untuk memberi bantuan kecil di rumah, sekolah, kedai dan restoran.
Memiliki ketinggian kira-kira 1.07 meter, Sprout dianggap sebagai robot humanoid mampu milik kerana dipasarkan pada 27 Januari lalu pada harga AS$50,000 (RM197,300).
Antara pelanggan awal robot ini ialah Disney.
Jika sesetengah robot dibangunkan dengan inspirasi seperti robot ganas dalam Terminator, robot lucu ini disifatkan mirip robot Wall-E atau robot generasi baharu Droid dalam Star Wars.
Media antarabangsa, AP turut mengeluarkan artikel mengenai robot Sprout berjudul Not ready for robots in homes? The maker of a friendly new humanoid thinks it might change your mind.
Kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Fauna Robotics, Robert Cochran, Sprout mampu menjadi pembantu dengan membawa barangan atau keperluan (pada kadar tertentu) dengan mudah.
“Robot ini boleh membawa beban ringan yang dapat membantu memudahkan tugasan seperti membawa berus gigi, barangan mandian mahupun hidangan.
“Sprout juga selamat untuk dibawa ke mana-mana dan rupanya juga kelihatan lucu dan sangat menyenangkan terutama apabila cahaya LED pada wajahnya akan bertukar warna untuk menunjukkan perasaan atau mood ketika itu,” katanya.

Perubahan cahaya itu menjadi medium komunikasi Sprout untuk memberitahu orang lain tentang bagaimana reaksinya terhadap sesuatu perkara, arahan mahupun perkongsian (maklumat) daripada sekeliling.
Selain lampu, Sprout juga menggunakan pelbagai isyarat lain untuk ekspresi termasuk menggerakkan antenanya yang bertindak sebagai kening (antenna eyebrows), menawarkan tangan untuk berjabat, mengggerakkan badan dan suara untuk menjadikannya mudah didekati secara sosial.
Tujuan reka bentuk ini adalah untuk membolehkan manusia berinteraksi dengan robot secara lebih semula jadi seolah-olah ia adalah watak animasi yang hidup seperti ditonton dalam filem Wall-E dan Baymax.
Bahkan Cochran turut tidak menolak inspirasi ciptaannya itu turut dipengaruhi oleh filem fiksyen popular.
“Kebanyakan orang dalam industri ini mendapat inspirasi daripada fiksyen sains yang ditonton sejak kecil yang dikembangkan.
“Pada pandangan saya, ada yang membangunkan robot mereka daripada watak filem Westworld dan Terminator, kami pula daripada Wall-E, Baymax dan Rosie The Jetsons,” katanya di ABC News.
Sprout tidak digambarkan sebagai sebuah robot yang sempurna, ia adakalanya seperti mahu terjatuh, tetapi itulah yang menjadikannya kelihatan lebih mesra dan tidak menakutkan di rumah dan sesuai didampingi kanak-kanak sekecil lima tahun.
Memandangkan harganya dirasakan sangat berbaloi untuk dijadikan pelaburan jangka masa panjang, Cochran mengakui pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan hotel untuk menggunakan Sprout sebagai pelayan atau tukang kemas (housekeeping) untuk menghantar barangan keperluan kepada tetamu.
“Pelancaran Sprout ini secara tidak langsung membuktikan industri robotik ini sudah semakin berkembang di Amerika Syarikat dan serata dunia.
“Reka bentuk robot ini yang kelihatan mencuit hati pasti akan membuatkan masyarakat tertarik dan teruja saat melihat ia beraksi seperti melakukan tarian, bertutur atau gerakan,” ujarnya.

Menjalani tempoh penyelidikan selama dua tahun, Sprout bukan sahaja dilihat sesuai untuk tujuan komersial, sebaliknya mampu menjadi ‘peneman’ di rumah, sekolah atau ruang sosial.
Mempunyai binaan warna hijau sage yang menggabungkan komponen keras dan lembut seperti bahagian luarnya dilapisi fabrik atau tekstil lembut bagi memberikan kesan seperti patung mainan, ia juga tidak terlalu keras atau sejuk apabila disentuh.
Selain itu, bahan empuk (padding) diletakkan di bawah lapisannya berfungsi sebagai penyerap impak dan pelindung komponen dalaman.
Rangka dalaman (endoskeleton) pula diperbuat daripada bahan logam ringan atau plastik gred tinggi untuk menyokong struktur dan menempatkan motor serta penderia yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), LiDAR, kamera dan pemproses komputer.
Sementara antena atau kening pada bahagian atas kepala pula diperbuat daripada bahan getah silikon yang fleksibel bagi membolehkan bergerak-gerak sekali gus mempamerkan ekspresi.
Reka bentuk soft robotics itu merupakan identiti utama Fauna Robotics untuk memastikan hasil ciptaan mereka sesuai digunakan dalam persekitaran yang mesra kanak-kanak.
Selain itu, dilaporkan, kelebihan reka bentuk itu juga menjadikan model pertama Sprout telah dibeli oleh Disney dan syarikat robotik, Boston Dynamics.
Dianggarkan Sprout hanya boleh mengangkat beban kira-kira lima kilogram (kg) dan mampu bergerak secara automatik.
Bagaimanapun robot ini juga boleh dikawal menggunakan pengawal permainan video, aplikasi telefon dan alat dengar realiti maya (VR).















