PETALING JAYA – Polis melarang penganjuran Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Membeli-Belah Sogo pada pukul 8 malam hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh termasuk risikan keselamatan dan maklum balas daripada pihak berkepentingan.
Beliau berkata, surat pemakluman daripada penganjur Garah pada 3 Februari lalu diterima berhubung rancangan perhimpunan aman di lokasi berkenaan.
“Risikan keselamatan serta mendapatkan pandangan semua pihak terlibat, termasuk pemilik premis sekitar dijalankan. Ketua Polis Daerah Dang Wangi turut mengadakan perbincangan dengan penganjur pada 5 Februari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, pihaknya semalam menerima surat bantahan daripada pemilik Kompleks Sogo, Pertama Kompleks, Harissons dan premis sekitar yang menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan pelanggan pada waktu tersebut.
Menurut beliau, maklumat bebas menunjukkan risiko berlaku gangguan ketenteraman dan ancaman keselamatan memandangkan kawasan berkenaan dijangka sesak dengan pengunjung sempena beberapa sambutan perayaan.
“Setelah mempertimbangkan semua faktor dan hasil risikan keselamatan, polis menjangkakan perhimpunan ini berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada orang awam. Justeru, kami memutuskan tidak membenarkan penganjur untuk meneruskan perhimpunan,” tegasnya.
Ujar Fadil, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan tersebut dan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau mengganggu keselamatan awam.
“Keselamatan dan kesejahteraan awam akan sentiasa menjadi keutamaan polis,” katanya – KOSMO! ONLINE














