fbpx
Noor Aini ketika diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Pegawai IKBN nafi bersubahat tuntutan palsu RM76,980

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang pegawai Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua tuduhan berasingan bersubahat tuntutan palsu bernilai RM76,980 bagi program latihan industri, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Noor Aini Mohd. Khalid, 52, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan dua hakim.

Di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, ibu kepada tiga anak itu didakwa bersubahat dengan seorang lelaki berusia 42 dengan niat memperdayakan IKBN Kuala Langat menggunakan invois sebuah syarikat bagi kerja-kerja penyediaan makanan dan minuman serta dobi sebanyak RM36,000 yang dipercayai mengandungi butir matan palsu dibawah Program Bootcamp IKBNKL 2023.

Sementara itu, di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin, Noor Aini turut didakwa bersubahat dengan individu sama dengan niat sama menggunakan invois syarikat berbeza bagi tuntutan palsu pembekalan bahan latihan serta promosi bernilai RM40,980 bagi program sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di IKBN Kuala Langat antara 22 Mei hingga 14 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) dibaca bersama Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan RM15,000 bersama seorang penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri setiap awal minggu di Pejabat SPRM Selangor, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Muhammad Amin Anuar dalam mitigasinya merayu hukuman dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak dan dua ibu bapanya yang tinggal di serumah.

“Suaminya pula kini patah kaki akibat kemalangan dan akan menjalani pembedahan pada April depan.

“Anak guam saya telah direman tiga hari pada Mei 2024 dan tidak mempunyai risiko melarikan diri susulan telah melaporkan diri setiap bulan sebelum ini dan bersedia dengan syarat tambahan itu,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan RM9,000 bersama seorang penjamin dan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Sebutan semula pada 22 April depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI