SABAK BERNAM – Seorang lelaki warga emas maut akibat masalah jantung di kawasan sawah berdekatan rumahnya di Parit 1½ Barat, Sungai Besar di sini, hari ini.
Mayat mangsa berusia 67 tahun itu ditemukan hasil maklumat orang awam, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa merupakan penduduk tempatan.
“Pemeriksaan mendapati lokasi kejadian itu berada berdekatan dengan kediaman si mati. Tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya malam ini.
Tambah beliau, hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian disebabkan salur darah jantung pecah (ruptured aortic aneurysm). – KOSMO! ONLINE














