KUALA LUMPUR – Syarikat penyedia perkhidmatan suspensi kenderaan tempatan, Mr. Absorber (PR Venture Sdn. Bhd.) komited untuk membuka sehingga 150 cawangan menjelang tahun 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Muhammad Al-Annas Abdul Yamin berkata, rancangan pengembangan itu seiring dengan pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) mengenai Rangkaian Servis Suspensi Kereta Terbesar di Malaysia.
“Ketika ini, kami mempunyai 51 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia dan pada tahun ini juga, kami mahu menembusi pasaran Sabah dengan cawangan pertama akan dibuka di Kota Kinabalu.
“Cawangan di Sarawak pula akan dimulakan pada tahun hadapan.
“Secara keseluruhannya, kami mempunyai tenaga kerja seramai 450 orang termasuk di bawah rangkaian usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran cawangan ke-46 Mr. Absorber di Cheras di sini kelmarin.
Mengulas lanjut, Muhammad Al-Annas berkata, pihaknya turut menyasarkan perolehan sebanyak RM100 juta setahun menjelang 2030, selari dengan pelan pengembangan ke seluruh negara.
Menurutnya, bagi tahun kewangan semasa, syarikat optimis mencatat peningkatan hasil sehingga RM30 juta, berbanding RM23 juta tahun lalu.
“Kami melihat potensi besar dalam industri automotif khususnya segmen suspensi yang selama ini dianggap sebagai pasaran sampingan di bengkel-bengkel umum.
“Menerusi penjenamaan Mr. Absorber, kami bukan sahaja menjual produk tetapi membawa kepakaran khusus untuk memastikan keselamatan pemanduan pada tahap maksimum,” katanya.
Tambah beliau, selain mengejar angka pertumbuhan, Mr. Absorber juga komited mewujudkan sehingga 1,200 peluang pekerjaan berkualiti menjelang 2030. -KOSMO! ONLINE














