fbpx
Dari kiri Ahli Lembaga Pengarah KESS, Sharif Saman, Hafizal dan Shaaini ketika merasmikan Cawangan KESS di Bandar Baru Bangi.

Sri Semantan orak langkah, buka cawangan ke-16 di Bangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Kedai Emas Sri Semantan Sdn. Bhd. (KESS) terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri emas tempatan apabila melancarkan pembukaan cawangan ke-16 di Bandar Baru Bangi baru-baru ini.

Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md. Jumaat berkata, pembukaan cawangan terbaharu itu adalah langkah strategik pihaknya yang menyasarkan pembukaan antara 25 hingga 30 cawangan baharu di seluruh negara pada tahun ini.

“Ini berikutan, kami melihat peningkatan permintaan terhadap pembelian dan simpanan emas dalam kalangan masyarakat yang semakin sedar akan kepentingan aset emas.

“Oleh itu, pembukaan cawangan ke-16 di Bandar Baru Bangi ini menjadi langkah strategik bagi menampung keperluan pelanggan di sini dan kawasan sekitarnya yang
mendapat permintaan tinggi,” katanya pada sidang akhbar bersempena majlis pelancaran cawangan terbaharu KESS baru-baru ini.

Majlis pembukaan cawangan baharu itu disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif KESS, Mohamad Hafizal Mahmood dan turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah KESS, Sharif Saman.

Jelas Shaaini, pemilihan Bandar Baru Bangi sebagai cawangan ke-16 dibuat berdasarkan pertumbuhan populasi penduduk selain kesedaran tinggi masyarakat terhadap kepentingan emas sebagai aset simpanan jangka panjang.

“Dari segi lokaliti, populasi penduduk di Bandar Baru Bangi semakin meningkat. Selain itu, tahap kesedaran masyarakat di sini terhadap pembelian dan simpanan emas amat membanggakan. Itulah faktor utama yang membuatkan kami membuka cawangan di sini.

“Pembukaan cawangan di Bangi juga mampu menampung peningkatan pelanggan dari kawasan sekitar termasuk Seremban dan Melaka yang sebelum ini mendapatkan perkhidmatan di cawangan Shah Alam,” katanya.

Tambah beliau, sempena pembukaan cawangan baharu itu, pelanggan turut ditawarkan potongan harga RM20 bagi setiap gram emas yang dibeli dan juga berpeluang menyertai cabutan bertuah untuk membawa pulang hadiah utama sebuah kereta.

Selepas Bangi, KESS bakal membuka cawangan ke-17 di Kemaman, Terengganu pada penghujung bulan ini sebelum meneruskan perluasan rangkaian ke Sungai Petani, Kedah pada awal bulan hadapan.

“Pendapatan KESS meningkat lebih 60 peratus berbanding tahun lalu hasil pembukaan lebih 15 cawangan baharu dalam tempoh empat hingga lima bulan kebelakangan ini.

“Jika dinilai, setiap cawangan baharu kami tidak pernah kekurangan pelanggan dan ini menyumbang secara langsung kepada peningkatan hasil jualan yang amat memberangsangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN