fbpx
Sebahagian jemaah haji Andalusia disambut ahli keluarga ketika tiba di Balai Ketibaan KLIA pada majlis menyambut kepulangan kumpulan kedua dan terakhir jemaah haji Andalusia bagi penerbangan KT079B dari Madinah di KLIA Terminal 1, Sepang hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA

Tiada isu berbangkit, jemaah haji puas hati perkhidmatan Andalusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Kira-kira 500 jemaah yang mengikuti pakej ditawarkan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) melahirkan rasa puas hati terhadap perkhidmatan disediakan susulan pelbagai penambahbaikan dibuat sepanjang tempoh operasi haji, tahun ini.

Penolong Pengurus Bahagian Haji Andalusia, Khairul Sani Zamberi berkata, ia berikutan pihaknya menerima pelbagai maklum balas positif daripada jemaah khususnya berkaitan kemudahan selesa di Masyair berbanding sebelum ini.

“Berdasarkan maklum balas tahun ini, kebanyakannya positif kerana terdapat penambahbaikan terutamanya di Masyair.

“Antara penambahbaikan itu seperti kemudahan tandas lebih selesa selain khemah dilengkapi ‘sofa bed’, sekali gus menyebabkan jemaah sangat berpuas hati dengan perkhidmatan ditawarkan Andalusia,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 118 jemaah haji termasuk petugas Andalusia tiba di KLIA menerusi penerbangan langsung Saudia Airlines dari Madinah, petang tadi.

Ia merupakan kumpulan jemaah haji kedua Andalusia yang tiba di tanah air selepas ketibaan 276 jemaah haji kumpulan pertama pada 6 Jun lalu.

Secara keseluruhan, katanya, Andalusia berjaya menguruskan kesemua jemaah haji dengan lancar, seterusnya membolehkan urusan ibadah haji dilaksanakan secara sempurna.

Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat beberapa perkara perlu ditambah baik termasuk isu kelewatan bas ketika pergerakan jemaah dari Muzdalifah ke Mina.

“Majoriti jemaah menunaikan haji buat kali pertama dan tidak mengetahui sepenuhnya bagaimana operasi haji dijalankan. Jadi, kita memberi penjelasan supaya mereka lebih memahami situasi sebenar di lapangan.

“Ada beberapa cabaran seperti kelewatan bas, namun perkara itu akan dijadikan penambahbaikan oleh Andalusia, Tabung Haji dan pihak muassasah bagi musim haji akan datang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN