KUALA SELANGOR – Seorang pesawah muda, Danial Farhan Mohd. Salleh, 23, mengubah sawah kepada lubuk emas menggunakan teknologi penanaman padi hingga mampu menjana RM20,000 semusim.
Katanya, dia sanggup mempertaruhkan masa depan dalam bidang pertanian dengan membuat keputusan berlawanan apabila majoriti bekas graduan seusianya meninggalkan kampung demi kerja pejabat di bandar.
“Langkah ini diambil sejak dua tahun lalu selepas menyedari sawah padi bukan sekadar warisan keluarga, malah peluang perniagaan yang lumayan jika diurus secara profesional,” katanya.
Dia yang berkelulusan Diploma Perladangan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin, Melaka menguruskan 14 hektar sawah padi serta lapan hektar kebun dengan pelbagai tanaman termasuk sawit dan jagung di sekitar Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang.
“Saya sertai bidang ini sebagai pelapis generasi dan melihatnya satu perniagaan yang besar perlu diterokai. Berbudi pada tanah memang tidak pernah menghampakan.
“Kalau cuaca beri kerjasama dan tiada penyakit, hasil maksimum boleh capai 10 tan bagi 1.2 hektar atau sekeping lot tanah sawah bersamaan lebih kurang hasil kasarnya RM20,000 semusim,” katanya.
Danial mengakui tanaman padi berisiko tinggi tetapi penggunaan konsep moden meningkatkan produktiviti dan mengurangkan risiko kerugian.
Justeru, katanya, penggunaan dron dan mesin transplanter perlu diaplikasikan sewajarnya.
“Kalau guna mesin transplanter, dua jam boleh selesai tanam benih padi. Memang konsep tradisional seperti tabur benih adalah menjimatkan kos, namun sukar hendak elakkan padi angin (padi yang tiada hasil).
“Saya juga memiliki kemahiran kejuruteraan dari pusat latihan kejuruteraan dalam bidang traktor, lengkap dengan lesen H bagi membawa jentera berat beroda yang dibeli pada harga RM20,000,” katanya.
Danial kini mempunyai enam pekerja tetap yang membantu dalam semua proses, daripada menanam sehingga menuai padi.














