KUALA LUMPUR – Pelakon Zizan Razak mengakui terkejut apabila terdapat pihak yang menggelarnya sebagai ‘Presiden Single’ hanya kerana masih belum mendirikan rumah tangga sehingga hari ini.
Menurut Zizan, 42, dia tidak mengetahui mengenai gelaran tersebut selain menegaskan tidak terasa hati dengan gurauan sebegitu.
“Boleh saja saya jadi presiden. Kalau saya jadi presiden, saya buka keahlian.
“Macam persatuan lain juga, tapi ini ‘Group Presiden Single’. Maksudnya jangan kacau kami.
“Saya nak tapis dan pastikan ahli yang betul-betul single sahaja. Jangan buat hal,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis sidang media Astro Shaw Cinematic Universe di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai foto tularnya dengan wanita berhijab, Zizan memberitahu perkara tersebut hanyalah gurauan bersama peminat yang sering berdoa agar dia dipertemukan jodoh.
Sedar dengan harapan peminat yang mahu melihatnya mendirikan rumah tangga, dia turut mendoakan perkara sama buat diri sendiri.
“Foto dengan wanita berhijab itu sekadar kandungan hiburan sahaja. Saya hanya komen pada Jaa Suzuran, minta dia hasilkan satu foto dengan wanita hasil teknologi kecerdasan buatan (AI), tak sangka pula dia terus buat,
“Bila saya muat naik, terkejut sebab tontonan cecah lima juta dan komen pun dah banyak. Nak padam rasa sayang, jadi biarlah kekal begitu.
“Semua itu sekadar gurauan dengan peminat. Namun, saya tahu ramai yang nak tengok saya kahwin. Saya doakan juga dan memang sudah layak cuma belum jumpa jodoh lagi.
“Kalau ada nanti, saya akan umumkan. Saya memang nak kahwin,” ujarnya.
Sejak minggu lalu, Zizan kerap memuat naik foto memaparkan dia bersama wanita berpurdah sehingga mencetuskan tanda tanya ramai sama ada dia sudah memiliki teman istimewa. – KOSMO! ONLINE














