KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas yang sebelum ini tular dengan gelaran ‘Mok Su Viral’ maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang melintas jalan di depan sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Mangsa, Allahyarham Tengku Jariahhanna Tuan Ismail, 71, menghembuskan nafasnya semasa menerima rawatan di Wad Zon Merah, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku kira-kira pukul 7.35 pagi semasa semasa sebuah kereta sedang dalam perjalanan dari arah KB Mall menghala ke Bulatan Padang.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai sedang melintas jalan dari arah sebelah kiri bahu jalan ke arah kanan bahu jalan.
“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu kereta berkenaan sempat mengelak sebelum merempuh warga emas itu.
“Mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Wad Zon Merah, HRPZ II manakala pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Mohd. Azmir memberitahu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menerima laporan berkaitan kemalangan tersebut kira-kira pukul 8.46 pagi.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang wanita yang sebelum ini tular sebagai ‘Mok Su Viral’ atau ‘Mok Su Bedal Sejuk’ meninggal dunia selepas terlibat kemalangan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran anak saudaranya, Engku Seri Kelantan di Facebook.
Allahyarham ‘Mok Su Viral’ sebelum ini sering tular kerana sering memakai bedak sejuk penuh muka dan sering dirakam berbual mesra dengan orang ramai.
Allahyarham sering kelihatan berlegar-legar di sekitar Kota Bharu, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai dan premis perniagaan, sehingga wajah serta telatahnya mudah dikenali penduduk setempat. – KOSMO! ONLINE














