fbpx
NOOR ZEEDA tetap bersyukur kerana masih mampu melakukan aktiviti riadah seperti orang lain.

‘Ada hina, terima lepas saya potong kaki’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menderita akibat penyakit kanser pada usia muda sehingga kaki kiri terpaksa dipotong sedikitpun tidak melemahkan semangat seorang wanita untuk melalui kehidupan berkeluarga seperti orang lain.

Noor Zeeda Abd Aziz, 47, yang disahkan menghidap kanser tulang bahagian Proximal Tibia pada Februari 2007 terpaksa menjalani rawatan invasif termasuk biopsi, kemoterapi dan pembedahan major dan sebelah kakinya dipotong pada 2012 demi menyelamatkan nyawa.

Menurutnya, ‘kehilangan’ itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, namun Noor Zeeda menjadikan kekurangan itu sebagai titik kebangkitan untuk membina semula diri dan menjalani kehidupan lebih baik.

“Ada yang menghina, ada yang menerima. Yang pasti kenalan dan keluarga tidak ada segan silu untuk keluar bersama saya. Mereka tetap melihat saya sebagai sahabat, bukan sekadar rupa bentuk,” katanya semalam.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, suaminya menjadi insan yang sentiasa memberi sokongan.

“Keinginan saya untuk menyambung pengajian sepenuh masa dalam Diploma Kandungan Kreatif Digital di universiti juga disokong sepenuhnya oleh suami.. Dia mahu saya capai impian selagi termampu,” katanya.

NOOR ZEEDA disahkan menghidap kanser tulang bahagian Proximal Tibia pada Februari 2007.

Tambahnya, perkara kecil semasa rawatan yang memberi kesan kepadanya adalah keperluan untuk berpantang.

“Dipaksa berpantang makanan sedangkan saya suka makan. Berat badan saya menyusut sehingga tulang jelas kelihatan kerana makanan berpantang tidak enak, tapi itu sebahagian daripada proses pemulihan saya,” kata Noor Zeeda.

Noor Zeeda yang juga suri rumah dan seorang pelajar sepenuh masa di Universiti Cyberjaya berkata, sokongan keluarga dan rakan-rakan menjadi faktor utama yang membantunya bangkit dari segi fizikal dan emosi selepas rawatan.

“Saya sangat beruntung. Mereka sentiasa pastikan saya boleh teruskan hidup dengan baik walaupun keadaan fizikal saya mencabar,” ujarnya.

Baginya perubahan fizikal tidak mengubah cara penglihatannya terhadap kehidupannya.

“Saya tidak ada rasa rendah diri. Saya terima ini adalah diri saya sekarang. Tetapi cuma dari segi pergerakan, saya perlu lebih berhati-hati supaya tidak terjatuh atau tergelincir,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN