KLUANG – Kebun tanah gambut seluas 22 ekar melibatkan tanaman kelapa sawit dan nanas di Simpang Renggam terbakar sejak Jumaat lalu.
Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Siti Hajar Sanusi berkata, maklumat kejadian dimaklumkan kepada pihaknya pada pukul 8.34 malam hari Jumaat dan sudah merebak hampir 10 ekar kebun kelapa sawit dan 12 ekar kebun nanas.
Katanya, tindakan pemadaman telah dilakukan pagi tadi melibatkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Renggam dibantu 11 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpang Renggam dan Layang-Layang serta 20 pekerja ladang.
“Untuk langkah awal, tindakan pemadaman menggunakan semburan cara terus ke tanah menggunakan sumber air terbuka, bantuan air ladang serta menggali parit bagi menghalang api merebak,”katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurut Siti Hajar lagi, jangka masa pemadaman bergantung kepada keadaan cuaca semasa namun sekiranya berlaku hujan ia mungkin dapat dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh satu atau dua hari.
“Apa yang membimbangkan sekarang adalah di kawasan kebun nanas kerana kawasan penduduk terletak hanya kira-kira satu kilometer dari kawasan kebakaran,”katanya.-KOSMO! ONLINE














