PETALING JAYA – Sebuah dompet dipercayai milik warga Malaysia ditemui tercicir di hentian Kapucínska, Bratislava, Slovakia sekali gus mencuri perhatian komuniti perantau.
Hantaran itu dikongsikan oleh Yulia Tsidylo dalam kumpulan Foreigners in Bratislava di Facebook, memaklumkan dia menemui dompet berkenaan bersama beberapa dokumen dan kad pengenalan yang kelihatan seperti milik warga Malaysia.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik, kad pengenalan berkenaan memaparkan seorang wanita Melayu bertudung sebagai pemiliknya.
Individu yang menemui dompet itu memaklumkan, dia akan menyerahkannya ke balai polis di jalan Štúrova bagi memudahkan proses tuntutan oleh pemilik yang sah.
“Dompet ditemui beberapa minit lalu di hentian Kapucínska Team dan akan ditinggalkan di balai polis di Štúrova,” menurut hantaran berkenaan.
Tinjauan di ruangan komen mendapati beberapa rakyat Malaysia yang berada di Slovakia menyedari hantaran tersebut dan memaklumkan akan menyebarkan maklumat itu kepada individu yang mungkin mengenali pemilik dompet berkenaan.
“Alamak, rakyat Malaysia. Saya akan cuba bertanya kenalan terdekat,” komen Sharon Sen.
“Terima kasih orang baik, semoga pemilik dompet akan menemuinya semula,” komen Dang Anom pula. – KOSMO! ONLINE














