fbpx
Ahmad Zahid berucap ketika merasmikan program Doa Dari Hati yang berlangsung di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, hari ini.

Kerajaan, NGO dan sektor swasta perlu bergerak seiring membangunkan ummah – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerjasama erat antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dilihat mampu menjadi pemangkin utama kepada pembinaan masyarakat yang seimbang dari segi pembangunan material dan rohani, selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan tidak mampu memikul tanggungjawab membangunkan masyarakat secara bersendirian tanpa sokongan padu NGO dan sektor korporat yang berteraskan nilai serta tanggungjawab sosial.

Menurutnya, sinergi tiga pihak iaitu kerajaan, NGO dan sektor swasta perlu digerakkan secara kolektif bagi memastikan agenda pembangunan ummah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Apabila institusi, NGO dan sektor swasta bergerak bersama atas dasar kebaikan dan ketakwaan, maka lahirlah sebuah masyarakat yang bukan sahaja maju secara material, tetapi juga subur nilai kemanusiaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Doa Dari Hati yang berlangsung di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, penganjuran program berunsur kerohanian di premis komersial seperti hotel merupakan satu anjakan pemikiran yang signifikan dan wajar dipuji kerana berjaya membawa dakwah ke dalam ruang kehidupan sebenar masyarakat.

Tambahnya, langkah tersebut membuktikan bahawa industri hospitaliti bukan sekadar berperanan sebagai penyedia perkhidmatan, malah mampu menjadi rakan strategik dalam pembangunan rohani dan kesejahteraan emosi umat Islam di Malaysia.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan dakwah masa kini perlu bersifat inklusif khususnya dalam mendepani masyarakat yang semakin tertekan dari segi mental dan emosi akibat cabaran kehidupan moden.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid merakamkan penghargaan kepada NGO One World Muslimah yang disifatkan konsisten membawa mesej keimanan berteraskan kasih sayang, selain memainkan peranan penting dalam menyuburkan nilai kemanusiaan dalam masyarakat.

Menurut beliau, penglibatan aktif NGO membuktikan bahawa usaha dakwah dan pembangunan sosial tidak dimonopoli oleh mana-mana pihak, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama.

Beliau juga memuji komitmen sektor swasta termasuk penaja korporat seperti Bawal Exclusive yang disifatkan sebagai contoh perniagaan beretika apabila kejayaan komersial digabungkan dengan sumbangan kepada pembinaan nilai dan jiwa masyarakat.

“Sektor swasta tidak boleh terpisah daripada nilai. Apabila perniagaan memilih untuk menyumbang kepada pembinaan ummah, manfaatnya akan kembali kepada masyarakat dan negara secara keseluruhan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN