IPOH – Seorang wanita kritikal akibat melecur hampir seluruh badan disebabkan letupan gas memasak di sebuah rumah di Taman Kledang Emas di sini hari ini dalam kejadian pukul 3.40 pagi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 4.02 pagi dengan sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.
Katanya, ketika tiba di lokasi, didapati pintu cermin hadapan kediaman itu telah pecah manakala grill pintu gelongsor kaca tercabut dipercayai akibat letupan gas.
“Menurut anak perempuan mangsa, dia yang terhidu bau gas telah mengejutkan ibu dan adik perempuannya untuk keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri.
Ketika cubaan untuk keluar dari rumah dua tingkat itu, mangsa yang turun terlebih dahulu cuba menutup pembuka tong gas, sebelum berlaku letupan secara tiba-tiba hingga menyebabkan wanita berusia 63 tahun itu parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selain perlu ditidurkan, manakala kedua-dua anak mangsa tidak mengalami kecederaan. ,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














