GOMBAK – Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak perlu memberi penjelasan kepada pembangkang berhubung dakwaan Malaysia memberi 5,207 hektar tanah kepada Indonesia.
Ini kerana kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, tuduhan itu bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab dengan dakwaan tidak berasas.
“Tak perlu bagi penjelasan, dia mesti bertanggungjawab buat tuduhan menipu, memfitnah terus menerus dan kita tidak boleh terima cara, kaedah politik buruk dan busuk seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga tidak melihat keperluan untuk menjawab dakwaan tersebut di Parlimen kerana ia tidak bersandarkan fakta.
Malah jelas beliau, pihak yang membuat tuduhan wajar tampil bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada sidang akhbar di Parlimen menggesa kerajaan membincangkan dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan di Parlimen.
Hamzah berkata walaupun dakwaan itu telah dinafikan oleh Perdana Menteri, tetapi, isu seperti itu penting untuk dibincangkan kerana melibatkan kedaulatan negara. – KOSMO! ONLINE














