ALOR SETAR – Terdapat segelintir warga tempatan sanggup mengambil risiko mengangkut migran yang diseludup masuk ke negara ini hanya kerana upah RM250.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, setakat ini seramai 66 warga tempatan yang bertindak sebagai tekong ditahan sejak 2023 hingga 26 Januari lalu.
“Polis turut menahan 42 ejen warga asing yang terlibat dalam aktiviti tersebut. Pada 2023, seramai 29 ejen tempatan dan 15 warga asing ditahan, manakala pada 2024 (16 warga tempatan, 11 warga asing).
“Pada tahun lalu, seramai 18 warga tempatan dan lima warga asing ditahan. Setakat 26 Januari lalu, tiga warga tempatan dan 11 warga asing diberkas terbabit dalam aktiviti sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.
Menurut beliau, modus operandi digunakan adalah melalui lorong tikus sama ada di sempadan Padang Besar, Perlis, Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung dekat sini selain sempadan perairan antarabangsa Thailand-Malaysia ke Langkawi menggunakan bot kecil.
Katanya, dalam tempoh sama, seramai 577 migran pelbagai warganegara ditahan dengan Myanmar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 481 orang.
“Mereka memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan atas beberapa faktor termasuk keadaan sosial dan ekonomi yang stabil serta kedudukan negara yang berhampiran dengan Myanmar,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam operasi terbaharu sepanjang bulan ini, polis berjaya menahan 73 individu disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia menerusi tiga operasi berasingan di negeri ini dan Pulau Pinang.
“Individu yang ditahan termasuk 14 tekong warga tempatan dan asing yang bertanggungjawab mengangkut migran warga Myanmar ke lokasi masing-masing.
“Seramai 11 ejen warga Myanmar, tiga ejen warga tempatan serta 59 migran warga Myanmar dan Amerika Syarikat berusia antara setahun hingga 61 tahun ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE














