NILAI – Empat lelaki asing ditahan selepas polis membongkarkan kegiatan pusat panggilan penipuan dalam talian yang beroperasi di tiga buah kediaman di sekitar Nilai kelmarin.
Serbuan itu dibuat susulan maklumat berkaitan aktiviti penipuan jual beli barangan dalam talian dan ‘love scam’ yang menyasarkan mangsa warga tempatan dan luar negara termasuk Thailand melalui aplikasi Facebook dan Tinder.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, kesemua suspek yang ditahan dipercayai bertindak sebagai pegawai khidmat pelanggan.
“Hasil pemeriksaan terhadap komputer riba dan telefon bimbit yang dirampas mendapati suspek menggunakan pelbagai akaun media sosial palsu untuk menjalankan aktiviti penipuan jual beli telefon bimbit dan komputer riba serta ‘love scam’,” katanya kepada pemberita.
Menurut Johari, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kegiatan penipuan itu sejak Februari 2024 sehingga kini dan siasatan awal mendapati mereka beralih kepada penipuan jual beli dalam talian kerana kesukaran mendapatkan mangsa menggunakan modus operandi ‘love scam’.
“Semakan mendapati pasport milik salah seorang suspek tidak mempunyai cap keluar masuk ke Malaysia, manakala pasport seorang lagi suspek telah tamat tempoh. Dua lagi suspek pula gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya. – KOSMO! ONINE














