fbpx
ADAKALANYA nampak ceria terutama saat menyempurnakan komitmen dan di lokasi penggambaran, hakikatnya Kamal Adli diulit rasa sepi. – SYAKIR RADIN

‘Mental saya ‘koyak’, sampai rasa tak nak makan dah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELALUI fasa perceraian bukanlah situasi yang mudah buat mana-mana individu termasuk aktor Kamal Adli.

Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli mengakui perceraian adalah perkara yang sangat asing buat dirinya.

Dia bahkan tidak pernah menjangka emosinya terpukul teruk disebabkan perceraian dengan bekas isteri, Uqasha Senrose pada 12 Januari lalu.

“Sekarang saya sedang menjalani penggambaran filem Takluk 2: Lahad Datu bersama Remy Ishak, Syafiq Kyle dan beberapa pelakon lagi.

“Saya gembira dapat bekerja dengan mereka dan masih dalam fasa penyembuhan.

“Situasi yang saya tempuh ketika ini bukan perkara yang biasa dan tak pernah lagi melaluinya, jadi sepanjang di set penggambaran memang kerja serta buat-buat okey saja,” katanya kepada HibGlam pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 baru-baru ini.

Syukur

Meski hati dihurung kesepian, dia bagaimanapun bersyukur dikelilingi rakan pelakon yang sentiasa berusaha membantunya melupakan seketika masalah hidup.

KURANG sebulan menjelang ketibaan Ramadan, Kamal Adli kini menjadi antara taruhan kempen baju Melayu edisi raya jenama Jakel.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dengan filem Takluk 2: :ajad Datu sebab selalu cuba menggembirakan hati saya dan mereka tahu emosi saya ‘down’ tetapi tak buka cerita pun tentang ini dan bekerja macam biasa.

“Saya sebenarnya nak cakap terima kasih banyak-banyak sebab beri kata-kata yang baik kepada saya serta Uqasha juga, terutama dalam media sosial,” katanya lagi.

Ucapan terima kasih juga kepada orang ramai termasuk rakan artis kerana tidak pernah berhenti mendoakan perkara yang baik-baik buat dirinya dan Uqasha.

“Ramai doakan saya terus kuat dan baca setiap satu komen sekali gus buat semangat semakin kuat.

“Rakan-rakan artis juga terima kasih sebab faham dan tidak ada yang muncul mengeruhkan lagi keadaan,” ujarnya.

Meskipun senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya, bintang drama Dia Imamku itu tetap tidak mampu lari daripada rasa sepi terutama apabila berdepan kemelut rumah tangga sejak tahun lalu.

Katanya, dia kini lebih banyak menghabiskan masa bersendirian melayan emosinya terutama selepas tamat penggambaran atau tiada komitmen dengan mana-mana pihak.

“Tapi sebenarnya saya tak boleh tipu diri sendiri. Sebenarnya, saya ‘koyak’ tapi tetap perlu teruskan penggambaran dan kerja lain sebab itu sumber rezeki.

“Jadual kerja saya memang padat sekarang dan susah nak dapat masa sendiri.

“Tapi bila ada masa terluang sekejap, waktu itu saya layan-layan perasaan, jiwa kacau seorang diri.

“Selalunya habis sahaja penggambaran, memang saya balik bilik dan duduk dalam bilik seorang diri, berfikir, solat dan lakukan apa sahaja yang membantu pulihkan emosi.

“Saya ini jenis yang kena ada banyak kerja sebenarnya dan alhamdulillah rezeki kerja itu ada,” tuturnya.

RANCAK menjalani penggambaran filem Takluk 2: Lahad Datu, Kamal bersyukur dikelilingi rakan-rakan yang memahami dan sentiasa memberi kata-kata semangat kepadanya.

Hilang selera

Tiada niat mencanang kisah sedih, tambah Kamal, fasa perceraian yang dilaluinya ketika ini turut memberi kesan terhadap selera makannya.

“Saya bukan nak buat cerita sedih cuma memang tak boleh tipu perasaan itu.

“Mental saya memang ‘koyak’ betul. Sampai tahap tak nak makan dan tidak rasa nak makan dah.

“Kalau tanya berat badan yang orang cakap makin kurus, sebenarnya tak sempat timbang tapi saya memang sedang diet dan ditambah pula dengan situasi sekarang, jadi bantu sekali (turun berat badan),” kongsinya.

Sempat ditanya mengenai persediaan menempuh bulan Ramadan dengan status berbeza, perkataan yang berulang kali terbutir di bibir hanyalah ‘koyak’, sekali gus menggambarkan kesedihan di relung jiwanya

“Cakap tentang puasa, memang tak boleh nak cakap apa-apa sekarang ini.

“Jujur memang rasa sangat ‘koyak’. Ramadan dan Aidilfitri tahun ini memang koyaklah.

“Tak tahulah kalau pihak sebelah sana okey ke tidak. Tapi memang akan sedih sebab Hawra dan dia tiada,” katanya mengakhiri perbualan.

Sementara itu, Kamal juga merupakan duta Jakel Raya 2026 di samping Nabil Ahmad, Achey, Senario, Cik Epal & Ammar, Elly Mazlein, Kamal Adli dan Que Haidar.

Selain itu, Jakel turut memperkenalkan barisan duta Gen Z Jakel Raya 2026 iaitu Lorenzo Irmann, Ara Bella Ellen, Zarif Ghazi dan Bella Dowanna.

Nur Fazura pula diumumkan sebagai rakan kolaborasi eksklusif bersama Jakel dengan menabur idea menerusi 51 rekaan busana raya pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN