REMBAU – Keadaan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau di sini hari ini diselubungi suasana pilu apabila ahli keluarga kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang meninggal dunia di dalam kereta tiba untuk menunggu proses bedah siasat.
Ahli keluarga dan kenalan terdekat tiba di hospital seawal pukul 11.45 pagi serta dilihat menangis dan saling berpelukan antara satu sama lain
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Azahar Abdul Rahim berkata, proses bedah siasat bermula pada pukul 2 petang tadi.
“Kemungkinan beberapa saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan kes ini dan siasatan menjurus kepada pengabaian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian tersebut, kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dipercayai berada di dalam kenderaan Proton Saga milik ibunya sejak pukul 8 pagi dan hanya disedari kira-kira sembilan jam kemudian.
Kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Ibu kanak-kanak itu yang berusia 35 tahun dan bekerja di sebuah bank hanya menyedari anaknya tertinggal di dalam kereta ketika mahu pulang ke rumah pada pukul 5 petang.
Mayat mangsa dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian, manakala kes kini dalam siasatan pihak polis. – KOSMO! ONLINE














