PETALING JAYA – Kebimbangan bahawa kecerdasan buatan (AI) akan menggantikan peranan manusia adalah tidak berasas kerana hakikatnya individu yang mahir menggunakan teknologi itu akan menggantikan mereka yang gagal menyesuaikan diri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Chang Lih Kang menegaskan, manusia tidak akan digantikan oleh AI, sebaliknya oleh orang lain yang tahu memanfaatkan AI dengan lebih berkesan.
“Anda tidak akan digantikan oleh AI. Anda akan digantikan oleh orang yang tahu menggunakan AI,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran video di laman TikTok ketika melawat Gamuda AI Academy, baru-baru ini.
Lih Kang berkata, penguasaan ilmu AI merupakan satu kelebihan besar pada masa hadapan kerana teknologi itu akan digunakan secara meluas merentasi semua bidang dan sektor.
“Tidak kira anda berada dalam bidang apa sekalipun, AI sentiasa berguna dan akan menjadi semakin penting pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau menggesa golongan muda agar tidak takut kepada teknologi baharu, sebaliknya mengambil peluang untuk mempelajari dan menguasainya bagi meningkatkan daya saing diri.
Tambahnya, inisiatif seperti Gamuda AI Academy mampu melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang celik AI, sekali gus memberi impak positif kepada pembangunan negara.
“Jika anda mahir menggunakan dan memanfaatkan AI, anda akan lebih ke hadapan daripada rakan sebaya. Jadi jangan risau, anda berada di landasan yang betul,” katanya. – KOSMO! ONLINE














