PETALING JAYA – Enggan masuk campur kontroversi menimpa pelakon muda Puteri Balqis, pelakon Aiman Hakim Ridza bagaimanapun menyifatkan gadis itu sebagai figura luar biasa dengan tahap kematangan serta kebijaksanaan jauh mendahului usia sebenar.
Ujar Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakim Ridza Abdoh, 37, dia kagum melihat pembawaan diri Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Aqish itu yang jauh lebih dewasa berbanding rakan seusia.
“Sejujurnya, dia seorang kanak-kanak sangat bijak. Saya benar-benar bangga dengannya. Walaupun saya tahu latar hidupnya bukan mudah, namun kejayaannya hari ini sesuatu luar biasa.
“Bagi saya, Aqish seorang genius untuk umur sebegitu. Bukan sahaja daripada sudut lakonan, bahkan sikap peribadi juga sangat menjaga adab serta menghormati orang sekeliling.
“Cara dia berbual pun matang, sampai kita rasa seperti bercakap dengan individu berusia 30 tahun,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah bintang drama Bad Cop itu, tahap komitmen ditunjukkan Aqish di lokasi penggambaran ketika bergandingan dengannya dalam drama Sebelum Titik Nokhtah sebelum ini adalah sesuatu yang jarang terlihat dalam kalangan pelakon remaja.
“Tak ramai mampu beri komitmen seperti itu. Kalau saya seusia dia dahulu, saya rasa belum tentu boleh setenang dan sematang itu.
“Dia sangat profesional dan perkara sebegini wajar kita banggakan,” ujarnya ketika ditemui di set penggambaran drama Flat Simpang Satu, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Aiman bakal muncul menerusi drama terbaharu berjudul Flat Simpang Satu dengan memegang watak Farook, seorang pekerja di pusat pemprosesan ayam.
Menurutnya, karakter itu menjadi usaha untuk keluar daripada bayangan watak lelaki kaya atau ‘putera’ sering dikaitkan dengannya sebelum ini.
“Saya mahu lari daripada stereotaip tersebut. Farook digambarkan sebagai lelaki biasa, bekerja keras dan menyimpan rahsia daripada isterinya sehingga mencetuskan konflik rumah tangga.
“Sebagai pelakon, saya perlu berani mencuba watak luar zon selesa. Kalau diberi peluang selepas ini, saya teringin bawa karakter dalam naskhah sains fiksyen. Mungkin jadi angkasawan pula,” kongsinya.
Selain Aiman, naskhah tersebut juga turut dibintangi pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Nadiya Nissa dan Kila Fairy – KOSMO! ONLINE.














