fbpx
Salah sebuah bas persiaran yang disita JPJ WPKL di Plaza Tol Sungai Besi, hari ini.

Dua bas persiaran antara 21 kenderaan disita JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 kenderaan termasuk dua bas persiaran disita dalam Operasi Sepadu Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan, di sini hari ini.

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, dua bas persiaran itu disita kerana gagal menyediakan pemandu pelancong berlesen dan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

“Kita memandang serius kesalahan ini kerana melanggar syarat itu boleh menjejaskan keselamatan penumpang serta mencemarkan integriti industri pelancongan dan pengangkutan awam,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada hari ini.

Hamidi berkata, tindakan penyitaan telah diambil serta merta tanpa kompromi di bawah Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(b) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), iaitu kegagalan mematuhi syarat di bawah lesen pengendalian kenderaan perkhidmatan pelancongan.

“Kewajipan menyediakan pemandu pelancong berlesen adalah selaras peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482),” katanya.

Beliau berkata, operasi bermula pukul 8.30 pagi itu dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta PLUS Malaysia Berhad.

“Pemeriksaan tertumpu kepada dokumen asas pemandu dan kenderaan seperti lesen memandu, cukai jalan serta perlindungan insurans, selain pematuhan spesifikasi teknikal kenderaan bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 2,091 kenderaan diperiksa sepanjang operasi dengan 382 jumlah notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah memandu tanpa lesen, penggunaan cermin gelap tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tiada insurans.

“Tindakan sitaan melibatkan 17 motosikal, dua kereta serta dua bas persiaran,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN