‘Saya ambil ganja sebab gaduh dengan bos…’
Oleh HARRITH HISHAM
KUALA LUMPUR – “Saya ambil ganja baru lagi, sebab stres gaduh dengan bos.”
Itu pengakuan seorang lelaki apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan, di sini hari ini.
Terdahulu, lelaki berusia 49 tahun itu yang menunggang motosikal bertindak melarikan diri dengan melawan arus, namun terbabas ke dalam longkang ketika mengelak kenderaan lain.
Semasa diperiksa, individu dikenali sebagai Yan itu disyaki memiliki bahan terlarang, malah saringan ujian air kencing turut mendapati dia positif dadah.
Yan yang bekerja sebagai pemandu berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kota Damansara ke Kajang Utama.
“Saya terbabas tadi sebab terkejut. Selalunya saya ‘redah’ sahaja kalau ada sekatan, tapi kali ini tak tahu kenapa saya patah balik. Ganja ini pun saya ambil sebab bos nak berhentikan saya. Saya stres dengan nak raya lagi,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Lelaki itu antara empat individu yang ditahan kerana positif dadah dalam operasi sepadu Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL).
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, empat individu yang ditahan terdiri daripada seorang pemandu lori manakala selebihnya merupakan penunggang motosikal.
“Kesemua yang ditahan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














