SEBERANG PERAI – Polis menahan dua lagi remaja lelaki yang tular menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan rehat dan rawat (RnR) Sungai Bakap arah selatan, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata, tangkapan itu dibuat hasil risikan dan siasatan lanjut yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPS.
“Kedua-dua suspek direman selama dua hari sehingga esok, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan seramai lapan orang.
“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya di sini, hari ini.
Jumaat lalu, polis menahan enam lelaki berusia 16 hingga 20 tahun selepas tular rakaman video berdurasi 13 saat pada Rabu yang memaparkan tindakan beberapa individu melakukan aksi wheelie serta membunyikan ekzos dengan kuat di stesen minyak kawasan rehat berkenaan. -KOSMO! ONLINE













